Malaysia mahu memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Iran, termasuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) sebagai instrumen rasmi bagi mempererat hubungan pertahanan kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon bersama Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Iran Seyed Majid Ebn-e-Reza.
“Iran telah memperlihatkan daya tahan termasuk melalui keupayaan pertahanan yang dibangunkan sendiri. Malaysia melihat ruang untuk kerjasama pertahanan yang lebih substantif, berasaskan hubungan persahabatan yang erat antara dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam perbualan itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan ucapan takziah Malaysia atas kematian pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat Iran dalam konflik yang berlaku.
“Malaysia berharap gencatan senjata dapat dikekalkan dan penyelesaian melalui dialog serta diplomasi terus diberi ruang demi keamanan dan kestabilan rantau,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama Iran dalam memudah cara laluan sepanjang konflik, selain menegaskan kepentingan memastikan keselamatan laluan maritim termasuk di Selat Hormuz terus terpelihara.
“Ke hadapan, Malaysia berharap MoU kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi untuk memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara,” katanya sambil menyambut baik penyertaan Iran dalam pameran LIMA tahun hadapan sebagai platform untuk memperluas hubungan dan meneroka kerjasama pertahanan.
























