Malaysia sedang memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 bersama institusi latihan dan industri, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan, semikonduktor serta tenaga boleh baharu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran di Facebook mengenai ucaptamanya di WorldSkills Shanghai 2026, Anwar menegaskan masa depan negara tidak ditentukan semata-mata oleh kecanggihan mesin, limpahan modal atau kepesatan teknologi, tetapi oleh ilmu, kemahiran dan nilai yang dimiliki rakyatnya.
“Kita tidak mahu anak muda sekadar menjadi tenaga kerja kepada perubahan, tetapi menjadi generasi yang menguasai perubahan lantas turut bersama mencorak arah dan masa depan negara,” katanya.
Anwar turut menyuarakan rasa bangga dengan 22 peserta muda Malaysia yang bertanding dalam 22 bidang kemahiran di Shanghai.
Beliau menekankan bahawa penyertaan itu bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi membina keberanian bersaing dengan peserta terbaik dunia serta membawa pulang pengalaman untuk meningkatkan standard negara.
“Walhasil, kemahiran tanpa nilai akan memunculkan kemajuan yang tempang dan tidak seimbang,” katanya, sambil menegaskan generasi muda perlu memahami keadilan, maruah insan serta tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Kemajuan yang hakiki adalah apabila teknologi mengangkat manusia dan nilai, dan bukan sebaliknya,” kata Anwar.























