ASIA
2 min membaca
Kerajaan terus bekerja keras, pastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela – PM
Anwar berkata kerajaan bersetuju untuk meneruskan inisiatif bantuan bersasar bagi memastikan golongan yang paling terkesan mendapat perlindungan ekonomi yang sewajarnya.
Kerajaan terus bekerja keras, pastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela – PM
Selain sektor komoditi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perhatian khusus turut diberikan kepada sektor kesihatan awam. / Facebook/Anwar Ibrahim

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen berterusan untuk bekerja keras dan bertindak dengan penuh ihsan demi memastikan kebajikan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia.

Langkah proaktif ini disuarakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang meneliti pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi merungkai isu krisis rantaian bekalan global yang kian menekan.

Memahami denyut nadi rakyat yang kini berdepan tekanan kos sara hidup, Anwar berkata kerajaan bersetuju untuk meneruskan inisiatif bantuan bersasar bagi memastikan golongan yang paling terkesan mendapat perlindungan ekonomi yang sewajarnya.

"Atas pertimbangan tersebut, Kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara," kata Anwar.

Selain sektor komoditi, perhatian khusus turut diberikan kepada sektor kesihatan awam.

Anwar berkata kerajaan memberi jaminan bahawa situasi semasa bekalan ubat-ubatan di dalam negara masih berada pada tahap yang stabil dan terkawal.

Bagi memastikan pasaran domestik tidak terjejas disebabkan pergolakan luar, KKM akan terus memantau rapat sebarang cabaran rantaian stok mahupun unjuran harga.

Langkah tegas itu, kata Anwar, diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa kepada spekulasi pasaran atau gangguan bekalan di peringkat global.

SUMBER:TRT Global