Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong usaha diplomasi dan dialog antara Kemboja dan Thailand susulan pergolakan yang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan, Anwar berkata beliau telah berhubung dengan kedua-dua Perdana Menteri bagi mendapatkan perkembangan terkini serta membincangkan langkah meredakan situasi.
“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi membincangkan pergolakan yang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara.
“Saya menghargai keterbukaan serta kesediaan kedua-dua pemimpin untuk terus berunding demi meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang salah anggap yang boleh memburukkan keadaan,” katanya.
Menurutnya, meskipun belum ada penyelesaian tuntas dicapai, usaha diplomasi yang berterusan telah berjaya mengelakkan insiden lebih serius daripada berlaku pada jam-jam yang dianggap paling kritikal.
“Walaupun belum ada penyelesaian tuntas dicapai, usaha diplomasi berterusan telah memastikan tiada insiden yang lebih serius berlaku dalam beberapa jam yang kritikal ini,” jelas beliau.
Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mendukung penyelesaian secara aman, berdasarkan undang-undang antarabangsa dan kerjasama serantau.
“Malaysia akan terus mendukung dialog aman, penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa, serta kerjasama serantau demi menjaga kestabilan dan keselamatan rantau kita bersama,” katanya.










