Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan susulan peningkatan ketidaktentuan geopolitik, ancaman baharu serta kehadiran anggota-anggota tentera yang semakin ketara di rantau ini, kata Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata keputusan menambah peruntukan pertahanan bukan semata-mata didorong perkembangan serantau, tetapi turut mengambil kira ancaman baharu termasuk serangan siber, elektromagnetik dan kempen penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran.
“Malaysia tidak melihat mana-mana negara tertentu sebagai ancaman, namun jelas berlaku peningkatan aktiviti dan kehadiran ketenteraan di rantau ini, khususnya apabila persaingan strategik antara kuasa besar semakin sengit,” katanya dalam kenyataan.
Mohamed Khaled berkata Malaysia bimbang perkembangan itu boleh mencetuskan kesan tidak disengajakan termasuk salah perhitungan, salah faham atau insiden kecil yang berpotensi meningkat menjadi konflik lebih serius.
Kedudukan geografi turut menjadi pertimbangan, khususnya perkembangan di selatan Filipina yang berhampiran Sabah.
Beliau berkata peningkatan ketegangan berhampiran Malaysia boleh membawa implikasi lebih luas terhadap keselamatan dan kestabilan negara serta Laut China Selatan, walaupun Malaysia tidak terbabit secara langsung.
Pada masa sama, Malaysia menghormati hak Filipina sebagai negara berdaulat untuk menentukan kerjasama pertahanannya berdasarkan keperluan keselamatan sendiri.
“Itu adalah keputusan dua hala bagi negara yang terbabit. Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Filipina dan penting untuk kita terus mengekalkan saluran komunikasi terbuka bagi mengurus sebarang kemungkinan salah faham,” katanya.
Mohamed Khaled menegaskan langkah memperkukuh pertahanan tidak bermakna Malaysia memihak kepada mana-mana kuasa besar.
“Keprihatinan kita adalah untuk mengekalkan kestabilan serantau dan memastikan persaingan strategik antara kuasa besar tidak membawa kesan tidak disengajakan kepada negara ASEAN,” katanya.






















