Pihak berkuasa Korea Selatan yang menyiasat nahas pesawat Jeju Air bulan lalu telah menyerahkan laporan awal kemalangan itu kepada agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand, menurut seorang pegawai.
Siasatan terhadap nahas udara paling dahsyat di negara itu masih berjalan, kata laporan yang dikeluarkan pada Isnin, dengan tumpuan diberikan kepada elemen “pelanggaran burung” dan melibatkan analisis ke atas enjin serta struktur panduan pendaratan “localiser”.
“Semua aktiviti siasatan ini bertujuan untuk menentukan punca sebenar kemalangan,” kata laporan itu.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), iaitu agensi PBB yang mengawal selia penerbangan global, memerlukan penyiasat kemalangan untuk mengeluarkan laporan awal dalam tempoh 30 hari selepas nahas dan mahu laporan akhir diumumkan dalam tempoh 12 bulan.
Pesawat Boeing 737-800 dari Bangkok, yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, terbabas dari landasan ketika melakukan pendaratan kecemasan “belly landing” dan melanggar struktur “localiser”, menyebabkan kematian semua penumpang kecuali dua orang daripada 181 penumpang dan anak kapal pada 29 Disember.
Localiser membantu pesawat menavigasi ketika menghampiri landasan, dan struktur yang diperbuat daripada konkrit bertetulang serta tanah di Lapangan Terbang Muan yang menyokong sistem antena itu berkemungkinan menjadi punca nahas, menurut pakar.
Penemuan awal
Laporan menyatakan banyak penemuan awal oleh penyiasat Korea Selatan telah dikongsi dengan keluarga mangsa pada Sabtu lalu, termasuk perbincangan antara juruterbang mengenai sekawan burung yang dilihat sebelum menghampiri landasan.
Masa sebenar pelanggaran burung yang dilaporkan oleh juruterbang masih belum dapat disahkan, kata laporan kemalangan itu, tetapi pesawat itu “membuat pengisytiharan kecemasan (Mayday x3) akibat pelanggaran burung ketika melakukan go-around.”
“Kedua-dua enjin telah diperiksa dan kesan bulu serta darah burung ditemui pada setiap enjin,” kata laporan itu.
“Selepas pesawat merempuh benteng tanah, kebakaran dan letupan kecil berlaku. Kedua-dua enjin tertimbus dalam timbunan tanah benteng, manakala bahagian hadapan ‘fuselage’ berselerak sehingga 30-200 meter dari benteng,” katanya.
Laporan itu tidak menyatakan apa yang menyebabkan kedua-dua perakam data penerbangan berhenti merakam secara serentak sejurus sebelum juruterbang mengisytiharkan mayday.
Pesawat itu berada pada ketinggian 152 meter (498 kaki) dengan kelajuan 161 knot (298 km/j atau 185 mph) ketika perakam data penerbangan berhenti berfungsi, menurut laporan itu.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI
















