DUNIA
5 min membaca
Mengapa ‘pelarian’ TikTok berpindah ke aplikasi Xiaohongshu?
Ketika tarikh akhir 19 Januari bagi keputusan Mahkamah Agung AS mengenai kemungkinan larangan TikTok semakin hampir, ramai pengguna TikTok kini beralih ke Xiaohongshu, aplikasi dari China yang mirip Instagram, turut dikenali sebagai “Little Red Book” atau “Red Note.”
00:00
Mengapa ‘pelarian’ TikTok berpindah ke aplikasi Xiaohongshu?
'Pelarian TikTok' mula beralih ke aplikasi Xiaohongshu. / AFP

Susulan ancaman larangan TikTok di Amerika Syarikat, sebilangan besar pengguna Amerika mula beralih ke aplikasi media sosial alternatif dari China, Xiaohongshu, menjadikannya aplikasi yang paling banyak dimuat turun di AS.

Menggelar diri mereka sebagai “pelarian TikTok,” mereka memilih Xiaohongshu, yang juga dikenali sebagai Instagram China, sebagai platform pilihan sebagai satu bentuk protes terhadap larangan TikTok, yang mendorong perdebatan luas mengenai jurang antara dasar kerajaan dan sentimen awam.

Xiaohongshu, yang turut dikenali sebagai “Little Red Book” atau “Red Note” dalam Bahasa Inggeris, menjadi aplikasi yang paling banyak dimuat turun di App Store di AS sejak Isnin lalu.

Aplikasi itu, yang menggabungkan e-dagang, video pendek dan kandungan yang dihasilkan pengguna, telah menarik ramai pengikut di China dan kalangan diaspora Cina di negara lain. Dengan 300 juta pengguna aktif bulanan, kebanyakan pengguna terdiri daripada wanita muda yang mencari syor produk, percutian dan gaya hidup.

Ketika Mahkamah Agung AS bersiap untuk membuat keputusan mengenai undang-undang yang mengarah TikTok untuk dijual daripada syarikat induk Chinanya, ByteDance, sebelum 19 Januari atau menghadapi larangan di AS atas alasan keselamatan negara, pengguna TikTok mula beralih ke Xiaohongshu.

Hashtag #tiktokrefugee mengumpulkan lebih 160,000 kiriman di platform itu, dengan pengguna Amerika memperkenalkan diri dan mencari panduan untuk menggunakan aplikasi tersebut. Ramai turut menggunakan nama panggilan “RedNote” untuk platform itu.

Suara komuniti

Alexis Garman, pengguna TikTok berusia 21 tahun dari Oklahoma yang memiliki hampir 20,000 pengikut, menyertai Xiaohongshu minggu lalu. Bercakap kepada Reuters, dia menyatakan kepuasannya terhadap suasana mesra aplikasi tersebut.

“Pengalaman saya menggunakan [Xiaohongshu] setakat ini sangat baik,” katanya.

Namun, Garman menyuarakan kebimbangannya terhadap implikasi larangan TikTok secara keseluruhan. “Kemungkinan larangan TikTok bukan hanya menghilangkan sebuah aplikasi; ia turut menghilangkan pekerjaan, rakan dan komuniti. Secara peribadi, kawan-kawan dan hubungan saya dengan pengikut saya akan hilang.”

Pengguna lain tanpa berselindung menyatakan keputusan mereka untuk menyertai Xiaohongshu sebagai satu bentuk protes terhadap larangan ke atas TikTok.

Seorang pengguna Amerika, yang menggunakan nama Definitelynotchippy, memberitahu pengguna China di platform itu dalam sebuah video, “Ramai di antara kami lebih bijak daripada itu, jadi kami memutuskan untuk membuat kerajaan kami marah dengan memuat turun aplikasi China. Kami menyebutnya sebagai trolling (hasut maya).”

Pengguna China di platform itu menyambut kedatangan mereka di aplikasi itu serta menawarkan untuk mengajar pengguna Amerika Bahasa China dan memberikan tip untuk penggunaannya. Malah, ada yang meminta bantuan untuk kerja sekolah Bahasa Inggeris mereka.

Pandangan berbeza

Menurut analisis First Voice di media China CGTN, peningkatan pengguna Amerika di Xiaohongshu memperlihatkan keraguan yang semakin meningkat di kalangan masyarakat terhadap alasan kerajaan AS yang mensasarkan TikTok.

Walaupun Washington merangka larangan itu sebagai isu keselamatan negara, dengan alasan kebimbangan tentang privasi data dan campur tangan asing, ramai pengguna kelihatan tidak yakin. Sebaliknya, ada yang melihat tindakan kerajaan itu bermotifkan politik, menunjuk kepada perang perdagangan yang berterusan dengan China sebagai salah satu faktor.

Terdapat blogger yang menganjurkan boikot selama seminggu terhadap platform media sosial Meta sebagai satu bentuk protes dan menggalakkan pengikut mereka untuk menerokai Xiaohongshu sebagai alternatif.

Fenomena “pelarian TikTok” memperlihatkan hubungan kompleks antara teknologi, politik dan pendapat awam.

Analisis First Voice mendapati jurang antara perspektif kerajaan dan masyarakat berpunca daripada beberapa faktor. Ini termasuk kekurangan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan terhadap TikTok, kebimbangan masyarakat tentang kesan peribadi dan ekonomi terhadap larangan tersebut, dan kecurigaan terhadap tindakan kerajaan yang melampaui batas yang melanggar kebebasan bersuara.

Ia turut menekankan bahawa pembuat dasar mesti mengimbangi kebimbangan keselamatan negara dengan keperluan melindungi kebebasan individu dan memupuk inovasi. Ketelusan yang lebih meluas, dialog terbuka dengan rakyat dan pertimbangan yang teliti terhadap akibat dasar adalah penting untuk mengurangkan jurang ini.

Nasib TikTok dan kebangkitan Xiaohongshu akan memberi implikasi yang besar terhadap masa depan internet dan hubungan antara kerajaan dan rakyat mereka.

Walaupun Xiaohongshu melihat peningkatan pengguna, masih tidak jelas sama ada aplikasi itu mampu menggantikan TikTok yang telah mencipta ekosistem yang membolehkan e-dagang dan pengiklanan secara meluas.

Sebelum TikTok terancam, sebahagian besar pengguna Xiaohongshu merupakan rakyat China, dan aplikasi tersebut, yang kekurangan ciri terjemahan, tidak dioptimumkan untuk pengguna antarabangsa.

“Aplikasi ini masih kekurangan beberapa ciri yang jelas yang boleh menjadikannya lebih mesra pengguna untuk pangkalan pengguna antarabangsa. Anda boleh menggunakan aplikasi ini dalam Bahasa Inggeris tetapi nampaknya anda tidak dapat menterjemah kiriman atau video,” kata usahawan Perancis yang berpangkalan di China, Arnaud Bertrand (@RnaudBertrand), dalam satu kiriman panjang di laman X.

“Ini bermakna jika anda tidak bercakap atau membaca Bahasa Cina, anda hanya dapat memahami kiriman dalam Bahasa Inggeris (dan sebaliknya: tiada terjemahan untuk kandungan Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Cina). Saya rasa pasukan teknologi Xiaohongshu di Shanghai (tempat Xiaohongshu berpangkalan) pasti sedang bekerja keras untuk ini,” tambahnya.

Bertrand, bagaimanapun, kelihatan optimis tentang “fenomena pelarian TikTok Xiaohongshu” sambil menyifatkannya sebagai “sangat menarik dan menggembirakan jika ia berterusan” sambil menekankan ironi kemungkinan larangan TikTok di AS.

“Ia akan menjadi kali pertama dalam sejarah dimana aplikasi media sosial digunakan pengguna Barat dan China untuk berinteraksi dalam skala besar. Sangat ironik apabila ini didorong oleh cubaan kerajaan AS untuk menyingkirkan TikTok kerana ia ‘China’ walaupun ia tidak mempunyai pengguna Cina mahupun kandungan Cina.”

Situasi ini memperlihatkan cabaran yang lebih luas dalam mengatur teknologi dalam lanskap digital yang sentiasa berubah dengan pantas.