Malaysia tidak akan membenarkan wilayahnya digunakan sebagai laluan penghantaran yang menyokong keupayaan ketenteraan Israel atau menyumbang kepada kekejaman terhadap rakyat Palestin, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Pendirian Malaysia jelas dan tegas. Kita tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel serta kekejamannya terhadap rakyat Palestin dan insan tidak bersalah yang lain,” katanya dalam hantaran di X.
Anwar menegaskan setiap penghantaran mencurigakan akan diperiksa dan disiasat mengikut undang-undang Malaysia.
“Sekiranya pelanggaran dikenal pasti, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Kenyataan itu menyusuli penyitaan tiga lagi kontena menuju ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.
Kontena berkenaan ditahan pada 19 Ogos ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Ashdod, di selatan Tel Aviv, dan masih berada di PTP sementara pihak berkuasa menyiasat kandungannya.
Sebelum itu, sebuah kontena ditahan di pelabuhan sama pada 7 Ogos kerana disyaki mengandungi senjata, memandangkan penghantaran tersebut ditujukan kepada syarikat teknologi pertahanan Israel, Elbit Systems Ltd.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan sejak sekian lama menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka serta hak rakyat Palestin.























