Monsun timur laut jejas Metro Manila dan Luzon pada Hari Krismas
Angin timur yang membawa udara panas dari Lautan Pasifik dijangka menyebabkan cuaca mendung dengan hujan serta ribut petir di Wilayah Bicol dan Samar Utara pada Hari Krismas.
Monsun timur laut atau amihan semakin kencang dan dijangka menjejaskan Metro Manila serta beberapa kawasan di Luzon pada Hari Krismas, 25 Disember, menurut biro kaji cuaca Filipina, lapor The Inquirer.
Dalam ramalan pagi, Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (Pagasa) memaklumkan amihan akan membawa cuaca mendung serta hujan di Batanes, Cagayan, Isabela, Apayao, Kalinga, Aurora dan Quezon.
Metro Manila dan beberapa bahagian lain di Luzon pula dijangka mengalami cuaca separa mendung hingga mendung dengan hujan ringan berselang-seli, melibatkan wilayah Ilocos, Wilayah Pentadbiran Cordillera, Lembah Cagayan, Luzon Tengah serta Calabarzon.
Pakar cuaca Pagasa Obet Badrina berkata keadaan amihan yang semakin kencang itu antara sebab amaran ribut dikeluarkan di Batanes, sambil menasihati orang ramai elak aktiviti ke laut, khususnya dalam bot dan kapal kecil di kawasan pantai.
Sementara itu, angin timur yang membawa udara panas dari Lautan Pasifik dijangka menyebabkan cuaca mendung dengan hujan serta ribut petir di Wilayah Bicol dan Samar Utara pada Hari Krismas.
Bahagian-bahagian lain negara itu dijangka mengalami cuaca antara separa mendung hingga mendung dengan hujan atau ribut petir terpencil akibat pengaruh angin timur.