ART penting jamin masa depan industri semikonduktor negara, kata Johari

Johari menegaskan rundingan ART antara Malaysia dan AS masih belum dimuktamadkan atau diratifikasi, sambil menambah beberapa perkara termasuk isu kedaulatan dan kepentingan nasional perlu diperjelaskan sebelum perjanjian itu dimeterai sepenuhnya.

By
Jika produk semikonduktor Malaysia menjadi lebih mahal akibat tarif yang tinggi, pelabur akan beralih ke negara lain, kata Johari / Foto: JaPen / Other

Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) penting bagi menjamin kelangsungan dan daya saing industri semikonduktor Malaysia, khususnya kerana Amerika Syarikat merupakan destinasi eksport terbesar negara bagi sektor itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pada 2024 Malaysia mengeksport semikonduktor bernilai kira-kira RM60 bilion ke AS, jauh lebih tinggi berbanding negara lain seperti Korea Selatan, China, Jepun dan Jerman.

Menurutnya, jika produk semikonduktor Malaysia menjadi lebih mahal akibat tarif yang tinggi, pelabur akan beralih ke negara lain tanpa memberi pertimbangan politik.

Johari menjelaskan, AS telah mengenakan tarif lebih tinggi ke atas negara yang tidak berunding di bawah ART, termasuk 40 peratus ke atas Myanmar dan Laos serta 25 peratus ke atas Brunei.

Justeru, penyertaan Malaysia dalam ART adalah bertujuan untuk memastikan akses pasaran yang stabil dan konsisten ke AS, yang juga rakan dagang dan destinasi pelaburan utama negara.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, sebagai menjawab soalan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengenai komitmen Malaysia terhadap ART sedangkan beberapa negara ASEAN lain belum meratifikasikan perjanjian itu.

Johari menegaskan rundingan ART antara Malaysia dan AS masih belum dimuktamadkan atau diratifikasi, sambil menambah beberapa perkara termasuk isu kedaulatan dan kepentingan nasional perlu diperjelaskan sebelum perjanjian itu dimeterai sepenuhnya.

Beliau berkata sebelum ini, perbincangan lebih tertumpu kepada aspek ekonomi tanpa definisi yang jelas.

Pada masa sama, Johari memaklumkan empat negara ASEAN kini sedang berunding ART dengan AS, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan berunding boleh menyebabkan tarif sehingga 40 peratus dikenakan, sekali gus menjejaskan eksport negara.

ART ditandatangani pada 26 Oktober tahun lalu antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump, dengan kadar tarif eksport Malaysia dikurangkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN.