Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengecam keadaan “sangat genting” yang dialami rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal akibat serangan berterusan tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 40,000 penduduk telah dipindahkan sejak 21 Januari, susulan serangan tentera Israel di bahagian utara wilayah itu.
Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967, menempatkan kira-kira tiga juta rakyat Palestin serta hampir 500,000 penduduk Israel yang tinggal di penempatan haram mengikut undang-undang antarabangsa.
Serangan Israel bermula dua hari selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza antara tentera Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Keadaan rakyat Palestin ketika ini “sangat genting,” menurut MSF yang beroperasi di kawasan tersebut.
Rakyat Palestin “tidak mempunyai tempat perlindungan yang sesuai, perkhidmatan asas, dan akses perubatan,” kata MSF.
“Keadaan kesihatan mental mereka amat membimbangkan.”
Menurut MSF, skala pemindahan secara paksa dan kemusnahan kem pelarian itu “sudah lama tidak dilihat sejak beberapa dekad” di Tebing Barat.
“Orang ramai tidak dapat pulang ke rumah mereka kerana tentera Israel menyekat akses ke kem-kem tersebut, memusnahkan rumah serta infrastruktur,” kata Pengarah Operasi MSF, Brice de la Vigne.
“Israel mesti hentikan perkara ini, dan bantuan kemanusiaan perlu ditingkatkan.”
Serangan Israel itu yang digelar sebagai “Tembok Besi” menumpukan serangan ke atas tiga kem pelarian utama iaitu Jenin, Tulkarem, dan Nur Shams.
Pada Februari, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata operasi itu akan dijalankan selama beberapa bulan.
“Saya telah arahkan mereka bersedia untuk tinggal lebih lama di kem-kem yang telah dikosongkan untuk sepanjang tahun ini, dan tidak membenarkan penduduknya kembali atau berlakunya kebangkitan semula aktiviti keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.














