Sindiket penipuan antarabangsa yang sebelum ini bertumpu di Kemboja, Laos dan Myanmar dikesan mula memindahkan sebahagian operasi mereka ke Malaysia, menurut laporan New Straits Times.
Langkah itu diambil ekoran tindakan tegas dan operasi penguatkuasaan besar-besaran yang semakin dipergiat oleh pihak berkuasa di negara-negara berkenaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua lokasi di dalam negara yang dipercayai menjadi pangkalan baharu sindiket terbabit.
Kumpulan tersebut dikesan melarikan diri selepas agensi penguatkuasaan antarabangsa, termasuk FBI, menyekat ruang pergerakan mereka.
"Sindiket-sindiket ini dipercayai telah berpindah dan beroperasi secara rahsia di lokasi-lokasi ini selama lebih enam bulan. Sangat memalukan apabila Malaysia kini dijadikan syurga buat scammer selepas bertahun-tahun kita berusaha menyelamatkan mangsa dari Myanmar dan Kemboja," kata beliau dalam satu sidang media.
Pendedahan itu turut disokong oleh pengakuan seorang bekas pekerja pusat penipuan yang hanya mahu dikenali sebagai Rex.
Beliau yang terperangkap selama hampir dua tahun selepas menerima tawaran kerja palsu mendedahkan bahawa ratusan pekerja pelbagai warganegara dikurung di dalam kem penipuan yang dikawal ketat, selain dipaksa bekerja sehingga 13 jam sehari.
"Gaji yang mereka janjikan tidak pernah wujud. Kos makanan, penginapan dan perbelanjaan harian dipotong daripada upah kami. Kebanyakan pekerja akhirnya tidak mendapat apa-apa," jelas Rex mengenai taktik penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Eropah sebelum beliau akhirnya berjaya pulang ke tanah air.
Susulan penemuan dua pusat operasi baharu itu, MHO mengumumkan akan mengemukakan aduan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan segera.
Hishamuddin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja luar negara yang menjanjikan gaji luar biasa tanpa kelayakan rasmi.













