Kerugian akibat penipuan di Malaysia cecah RM2.7 bilion, peningkatan ketara semasa musim perayaan
Menurut firma keselamatan siber Fortinet Malaysia, angka ini mewakili peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan trend serangan dikesan memuncak terutamanya ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Malaysia mencatatkan lonjakan drastik dalam kerugian akibat penipuan dalam talian yang mencecah kira-kira RM2.7 bilion sepanjang tahun 2025, lapor BERNAMA.
Menurut firma keselamatan siber Fortinet Malaysia, angka ini mewakili peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan trend serangan dikesan memuncak terutamanya ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Cawangan Fortinet Malaysia, Kevin Wong, mendedahkan taktik utama yang digunakan termasuk aktiviti memancing data (phishing), platform e-dagang palsu, serta pautan pembayaran yang meragukan.
Beliau turut memberi amaran mengenai eksploitasi kod QR dan saluran pembayaran digital, memandangkan penggunaan "e-duit raya" kini menjadi ikutan ramai, sekali gus memberi peluang kepada penjenayah untuk mengalihkan transaksi.
"Musim perayaan bukan sahaja memberi berisiko tinggi kepada pengguna, malah meluaskan landskap ancaman terhadap perniagaan dan infrastruktur kritikal," ujar Wong.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah transaksi yang tinggi serta kekurangan kakitangan operasi semasa cuti panjang menyebabkan organisasi lebih terdedah kepada serangan dan melambatkan tempoh tindak balas terhadap insiden siber.
Statistik daripada Pusat Respons Insiden Cyber999 turut mengesahkan kebimbangan itu dengan merekodkan 2,020 insiden pada suku ketiga 2025, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding tahun lalu.
Selain itu, kira-kira 75 peratus daripada kes tersebut melibatkan aktiviti phishing dan penipuan atas talian, yang membuktikan taktik penyamaran masih menjadi senjata utama sindiket penipuan.
Bagi membendung ancaman tersebut, pengguna dinasihatkan agar hanya berurusan di laman web yang disahkan (HTTPS) dan mengelak daripada klik pautan tawaran yang tidak masuk akal.
Penggunaan pengesahan dwi-faktor (MFA) dan amalan merahsiakan kata laluan sekali guna (OTP) adalah sangat kritikal, selain mengelak daripada menggunakan Wi-Fi awam bagi sebarang urusan perbankan.
Dalam pada itu, Wong menekankan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem keselamatan bagi mengesan ancaman pada kelajuan mesin.
Beliau turut menarik perhatian mengenai isu kekurangan bakat mahir, di mana 98 peratus organisasi di Malaysia dilaporkan mengalami pencerobohan siber akibat jurang kemahiran dalam tenaga kerja siber mereka.