DUNIA
2 min membaca
Anak kapal warga Thai selamat tiba di Oman; operasi mencari 3 lagi mangsa diteruskan
Menurut PSL, keputusan untuk merentasi selat berkenaan dibuat selepas penilaian risiko navigasi yang menyeluruh serta rundingan dengan pakar keselamatan maritim dan pihak insurans.
Anak kapal warga Thai selamat tiba di Oman; operasi mencari 3 lagi mangsa diteruskan
Imej yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Thailand ini menunjukkan kapal kargo Mayuree Naree yang terbakar di Selat Hormuz pada Rabu, 11 Mac 2026. / AP
sejam yang lepas

Syarikat perkapalan Precious Shipping Public Company Limited (PSL), pemilik kapal kargo Mayuree Naree yang disrang di Selat Hormuz, mengesahkan pada 12 Mac bahawa 20 anak kapal warga Thailand telah selamat tiba di Oman, menurut laporan The Nation.

Insiden itu berlaku selepas kapal tersebut diserang di kawasan berhampiran Selat Hormuz pada 11 Mac, yang mengakibatkan kebakaran di bilik enjin sebelum kru terpaksa meninggalkan kapal dan diselamatkan oleh tentera laut Oman.

Dalam kenyataan rasminya, PSL melahirkan rasa dukacita dan menegaskan bahawa keutamaan kini adalah kebajikan mangsa.

Kesemua 20 anak kapal yang terselamat kini ditempatkan di penginapan hotel sementara di Khasab, Oman.

Pihak syarikat sedang giat menyelaras dengan Kedutaan Diraja Thailand di Muscat bagi mengatur urusan penghantaran pulang mereka ke tanah air dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, nasib tiga lagi anak kapal masih belum diketahui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Tentera Laut Diraja Thailand, Kementerian Luar Negeri Thailand, agensi kerajaan Oman, serta badan antarabangsa seperti Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).

Pasukan penyelamat dari tentera laut Oman dilaporkan masih meneruskan pencarian tanpa henti di lokasi kejadian.

Menjawab persoalan mengenai keputusan kapal itu utnuk melalui Selat Hormuz di sebalik ketegangan serantau yang meruncing, PSL menegaskan bahawa pihaknya telah mematuhi segala langkah keselamatan dan garis panduan maritim yang ditetapkan.

Syarikat itu berkata ia juga berhubung dengan pusat penyelarasan keselamatan maritim sepanjang pelayaran tersebut bagi memantau keadaan semasa.

Menurut PSL, keputusan untuk merentasi selat berkenaan dibuat selepas penilaian risiko navigasi yang menyeluruh serta rundingan dengan pakar keselamatan maritim dan pihak insurans.

Penilaian tersebut merumuskan bahawa kapal tersebut boleh meneruskan perjalanan dengan langkah perlindungan tambahan, selain anak kapal juga sedia maklum mengenai situasi keselamatan di rantau tersebut.

Pihak syarikat turut mendakwa bahawa tiada sebarang amaran khusus yang melarang kapal daripada melalui kawasan itu pada waktu kejadian.