Serangan terbaharu Thailand gegar Kemboja
Serangan dilaporkan berterusan sepanjang malam di Wilayah Ketenteraan 5, termasuk penggunaan dron pengintip dan asap beracun di kawasan Phnom Tranggol.
Kementerian Pertahanan Kemboja melaporkan pencerobohan berulang oleh tentera Thailand yang didakwa terus melanggar kedaulatan negara itu, lapor Khmer Times.
Serangan dilaporkan berterusan sepanjang malam di Wilayah Ketenteraan 5, termasuk penggunaan dron pengintip dan asap beracun di kawasan Phnom Tranggol.
Menurut kementerian, dari jam 5.30 hingga 6.10 pagi, tentera Thailand melepaskan tembakan menggunakan peluru artileri 105mm ke arah lokasi O Phluok Damrei, selain serangan berterusan yang kini memasuki wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey, Banteay Meanchey dan hingga ke daerah Veal Veng di wilayah Pursat.
Serangan tersebut mengorbankan dua orang awam pada subuh 9 Disember, menjadikan jumlah korban setakat ini empat orang.
Kemboja mendakwa bahawa Thailand telah melanggar gencatan senjata serta Joint Statement on the Peace Agreement yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025, yang disaksikan Presiden AS Donald Trump bersama Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.
Phnom Penh sekali lagi menggesa Bangkok kembali mematuhi perjanjian damai tersebut bagi meredakan ketegangan.
Pada jam 12.59 pagi, tembakan intensif dilaporkan di daerah Thma Puok, Banteay Meanchey, mengakibatkan dua lagi orang awam maut ketika melalui Jalan Nasional 56.
Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa pasukan bersenjata Kemboja tetap komited kepada penyelesaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, namun bersedia mempertahankan kedaulatan negara.
Ketegangan terbaharu di sempadan turut memberi kesan besar kepada sektor pendidikan, di mana 377 sekolah terpaksa ditutup di empat wilayah.
Hampir 80,000 murid dan lebih 3,000 orang guru terjejas susulan peningkatan serangan tentera Thailand di dalam wilayah Kemboja.