Leftenan Jeneral Weerayut Raksin dari Thailand, iaitu komander Kawasan Tentera Kedua, berkata beliau telah bertemu dengan anggotanya di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja di daerah Surin untuk memeriksa kebajikan dan tahap kesiagaan mereka susulan ketegangan yang berterusan, lapor The Nation.
Katanya semua petugas yang ditempatkan di sempadan bersedia menghadapi pertempuran siang dan malam serta mempunyai moral yang tinggi.
Pasukan itu telah membuat persiapan menyeluruh untuk membekalkan makanan, air minuman dan keperluan lain, dan tiada kekurangan walaupun ada beberapa laluan terganggu akibat hujan lebat.
“Setiap anggota pasukan bertekad mempertahankan kedaulatan negara dan rakyat — kami tidak akan mengalah walau satu sentimeter tanah Thai pun,” katanya.
Weerayut menegaskan insiden dan klip video yang tular di media sosial memerlukan pengesahan rapi.
Beliau berkata pemantauan teknologi digunakan untuk mengukuhkan kawalan rondaan, tetapi peranti tersebut tidak sentiasa ditempatkan di laluan yang sama dengan pasukan, menyebabkan tentera kadangkala tidak menyaksikan kemasukan secara langsung oleh pihak Kemboja yang didakwa menanam ranjau atau memotong dawai berduri.
Komander itu mengarahkan agar semua anggota mengambil tindakan terhadap sesiapa yang memasuki wilayah Thai dengan senjata dan melanggar kedaulatan negara itu.
“Jika tentera Kemboja menyeberang ke Thailand dengan senjata dan merosakkan harta benda, kami tidak akan bertolak ansur. Pasukan kami diberi kuasa untuk bertindak mengikut keperluan situasi,” ujarnya.
Beliau turut menuduh pihak Kemboja menyasarkan provokasi menerusi kandungan yang dikongsi di media sosial untuk menghasut rakyat Thai.
Weerayut menjelaskan tentera Thai mesti berhati-hati agar tidak terperangkap di kawasan yang dipasang ranjau atau perangkap lain.
Disebabkan itu, beliau berkata tindakan tidak selalu dapat diambil dengan pantas seperti apa yang rakyat mahukan, namun menegaskan keselamatan anggota tetap menjadi keutamaan.
Mengikut dasar kerajaan dan ketenteraan serta garisan peta 1:50,000, Weerayut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan tanah Thailand.
Ditanya mengenai kuil Ta Kwai dan Khana — yang menurut peta itu terletak di sisi Thailand — beliau berkata perancangan untuk mengambil semula tapak berkenaan sudah disediakan dan akan dilaksanakan pada masa sesuai mengikut keadaan operasi.