Ulasan
PERANG GAZA
5 min membaca
Rancangan licik dan jahat Netanyahu untuk terus bunuh rakyat Palestin
Serangan baharu Israel ke atas Gaza mendedahkan agenda sebenar penjajah Zionis — untuk meneruskan genosid — walaupun di bibir mereka sering mengulang hasrat untuk gencatan senjata.
Rancangan licik dan jahat Netanyahu untuk terus bunuh rakyat Palestin
Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
29 Oktober 2025

Pada lewat hari Selasa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan arahan supaya Gaza dihentam lagi, sambil mendakwa kumpulan pejuang Palestin, Hamas, telah melanggar gencatan senjata.

Kedengaran seperti skrip yang sama: pengumuman tentang pelanggaran gencatan, membuat dakwaan bahawa tentera perlu dikerah, dan pengisytiharan untuk “bertindak balas”.

Namun, topeng ini tidak mampu menutup realiti: pembunuhan beramai-ramai di wilayah bergolak itu tidak pernah terhenti.

Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh sejak beberapa minggu ini selepas gencatan senjata bermula. Dan dalam serangan terbaharu, Israel membunuh 104 orang dalam satu malam sahaja — termasuk sekurang-kurangnya 35 kanak-kanak.

Bagi rakyat Gaza, bom mungkin berhenti seketika, tetapi pembunuhan masih berterusan. Apa yang dunia sedang saksikan bukanlah gencatan senjata. Ia hanyalah satu selingan singkat dalam pemusnahan sistematik terhadap penduduk awam yang terperangkap.

Netanyahu sekadar mencari alasan untuk memulakan semula rancangan pembunuhan beramai-ramainya.

Kerajaannya tidak pernah menyembunyikan cita-cita itu. Menteri-menteri sayap kanan seperti Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich berulang kali menuntut supaya ada pengeboman berskala besar serta serangan darat.

Mereka menyifatkan tindakan melambatkan proses serangan ketenteraan sebagai satu tindakan yang lemah dan mengkhianati rakyatnya. Mereka bukanlah penghasut picisan — mereka adalah tokoh pemimpin kanan yang menggubal dasar negara.

Tekanan mereka konsisten dan mesej mereka jelas: Gaza mesti terus menjadi sasaran. Tiada niat untuk mencapai gencatan senjata atau keamanan.

Israel menegaskan serangan terbaharu ini bersifat reaktif, kononnya didorong oleh tindakan rakyat Palestin.

Tetapi sejarah menunjukkan bahawa sesebuah negara yang mahu melenyapkan sesuatu bangsa memang pandai mencari alasan tanpa henti.

Apabila genosid sedang terjadi, justifikasi menjadi wayang. Labelkan sahaja mangsa sebagai ancaman. Mereka terus mencipta alasan kononnya untuk mempertahankan diri. Kemudian, paparkan keganasan yang melampau sebagai satu keperluan yang terpaksa diambil.

Seterusnya, bergantung sahaja pada kuasa-kuasa besar dunia untuk mengangguk sebagai tanda bersetuju.

Perang Netanyahu yang tanpa penghujung

Untuk menghentikan genosid ini, kepimpinan Israel perlu berdepan dengan pertanggungjawaban politik dan undang-undang.

Netanyahu kini berdepan tekanan hebat di dalam Israel atas kegagalan masa lalu. Gencatan senjata yang kekal akan memecahkan ilusi bahawa perang tanpa penghujung ini kononnya demi kepentingan atau keselamatan Israel. Ia akan memaparkan keruntuhan moral yang menjadi teras kepada pemerintahannya.

Jika genosid ini diteruskan, ia akan menjadi perisai politiknya.

Selagi rakyat Palestin terus terbunuh, perbincangan rakyat Israel akan kekal tertumpu kepada mitos “kemenangan” dan bukannya kebenaran tentang malapetaka yang sedang berlaku.

Sementara mereka yang berkuasa bermain politik, rakyat Gaza menanggung akibatnya.

Setiap hari mereka berada di bawah gencatan senjata, mereka tetap tidak selamat. Pengusiran melibatkan semua orang. Kebuluran semakin parah. Air bersih masih sukar diperoleh. Hospital kekurangan bekalan asas.

Kanak-kanak tidur tanpa mengetahui sama ada mereka akan bangun semula keesokan hari. Orang awam meninggal dunia akibat luka yang tidak dirawat, penyakit yang boleh disembuhkan, dan kelaparan.

Ketiadaan bom tidak bermakna terdapat kehidupan. Survival di bawah kepungan juga merupakan satu bentuk keganasan.

Penyokong Israel di luar negara terus menggesa agar rejim kejam itu “berhati-hati” dan mengambil tindakan yang “seimbang”. Mereka menyeru supaya Israel menghentikan serangan tetapi merekalah juga yang terus membekalkan senjata. Mereka melahirkan “kebimbangan” sambil memberi perlindungan diplomatik. Percanggahan ini sangat ketara.

Jika masyarakat antarabangsa benar-benar percaya bahawa pembunuhan mesti dihentikan, mereka akan berhenti menyalurkan senjata. Jika nyawa rakyat Palestin mempunyai nilai yang sama seperti semua manusia, tindak balas akan mencerminkan keperluan mendesak itu.

Jurang antara kata-kata dan tindakan mendedahkan sikap bersubahat.

Setiap serangan baharu menambah kekejian ini. Serangan pada malam Selasa membuktikan sesuatu yang sepatutnya sudah jelas sejak dahulu lagi — mereka tidak pernah ada komitmen untuk mencapai keamanan.

Mereka hanya mengambil masa untuk berehat seketika sementara menyusun semula pelan strategik, mengumpul tenaga, dan meyakinkan sekutunya bahawa Israel masih bertindak dalam “kerangka undang-undang antarabangsa”. Sementara itu, di lapangan, kawah-kawah bom tidak sempat sejuk sepenuhnya.

Genosid bertopengkan gencatan senjata

Netanyahu dan para menterinya secara terbuka telah menyuarakan niat yang sepatutnya menggerunkan mana-mana masyarakat dunia yang mendakwa mereka menghargai hak asasi manusia.

Visi mereka untuk Gaza tidak merangkumi aspek keselamatan, maruah atau kebebasan bagi penduduknya.

Sebaliknya, ia melibatkan penguasaan, pengusiran dan kemusnahan. Mereka bercakap seolah-olah rakyat Palestin hanyalah halangan, bukannya manusia. Kata-kata seperti itu boleh mewujudkan sebuah dunia di mana genosid boleh dinafikan walaupun ia berlaku secara terang-terangan.

Gencatan senjata yang masih menyaksikan orang awam disembelih bukanlah gencatan senjata. Ia hanyalah perisai linguistik bagi keganasan.

Ia membuatkan para diplomat merasa seolah-olah mereka manusia berguna sementara orang awam terus bermandi darah. Ia mencipta tajuk utama tentang “kemajuan” sementara ramai ahli keluarga menggali kubur. Ia menenangkan pemerhati dari jauh bahawa krisis sedang “diuruskan”, bahawa dunia tidak kehilangan hati nuraninya — walhal itulah apa yang sedang berlaku.

Soalan yang seluruh dunia harus berdepan adalah amat mudah.

Berapa kali lagi Israel akan dibenarkan untuk memulakan semula genosid ini tanpa menggunakan perkataan “gencatan senjata” sebagai alasan untuk berehat seketika?

Apa erti keamaan jika usaha untuk meneruskan hidup juga dilihat sebagai satu bentuk penentangan?

Masih ada masa untuk memberi jawapan yang berbeza daripada apa yang telah diberikan setakat ini.

Namun jendela itu semakin tertutup. Setiap letupan baharu mengecilkannya lagi. Setiap nyawa yang melayang menunjukkan keperluan yang mendesak. Masyarakat antarabangsa mesti berdepan dengan apa yang mereka halalkan. Bukan esok. Bukan selepas rundingan seterusnya. Tetapi sekarang.

Kerana jika inilah yang dunia panggil sebagai “gencatan senjata”, maka apakah lagi perkataan yang tinggal untuk mendefinisikan “genosid”?

SUMBER:TRT World