Malaysia perlu mempertimbangkan semula kewujudan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sekiranya agensi antarabangsa tersebut enggan bekerjasama dalam menguruskan isu pelarian secara telus dan ketat.
Menteri Luar Mohamad Hasan menegaskan kerjasama rapat amat penting bagi memastikan proses saringan menyeluruh dilakukan sebelum sebarang kad UNHCR dikeluarkan kepada mana-mana individu.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan mengeluarkan kad secara sewenang-wenangnya tanpa kawalan boleh menjadi seperti 'magnet' yang menarik kemasukan pelarian secara berterusan ke Malaysia.
2"Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya, supaya kita tidak terus terbeban.
"Ini menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR dan boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya. Itu perlu kita urus dengan baik," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri kini sedang merangka langkah proaktif untuk memastikan setiap permohonan pelarian melepasi saringan ketat serta mendapat kelulusan rasmi kementerian sebelum status pelarian disahkan.
Langkah ini bertujuan untuk menutup kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang dilihat membelakangkan kawalan keselamatan negara.
"Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya mereka boleh buat apa ataupun mereka tidak boleh buat itu dan ini. Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada SOP.
"Mereka buat permohonan dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad. Ini bermakna saringan kita tidak ada," tambah beliau lagi.
Tegas Mohamad, meskipun Malaysia sentiasa prihatin terhadap prinsip kemanusiaan, aspek keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

















