Seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijadual tiba di tanah air malam ini (7 Okt) selepas melalui detik mencabar ketika ditahan pihak berkuasa Israel minggu lalu, lapor Bernama.
Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Dr Sani Araby Abdul Alim, pesawat yang membawa kumpulan itu dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 9.45 malam.
Pada 2 Oktober lalu, kapal yang membawa peserta GSF — termasuk 23 rakyat Malaysia — telah dipintas rejim Zionis ketika berada di perairan Laut Mediterranean sebelum mereka ditahan dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel.
Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Ahad, sebelum tiba di Istanbul sekitar 8.40 malam waktu tempatan.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (Sirius); Razali Awang (Inana); selebriti media sosial Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari pelbagai negara yang berlayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum diserang dan ditahan secara haram oleh rejim Israel di perairan antarabangsa.