Perbicaraan ICJ: Myanmar sengaja sasar Rohingya

Gambia memfailkan kes itu pada 2019, di mana ia menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948 susulan operasi tenteranya pada 2017 yang memaksa ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

By
Menteri Kehakiman Gambia Dawda Jallow (kiri) bersama peguam Arsalan Suleman semasa ICJ memulakan perbicaraan kes genosid Myanmar pada 12 Januari 2026. / Reuters

Myanmar sengaja menyasarkan etnik minoriti Rohingya untuk memusnahkan komuniti itu dengan melakukan keganasan yang “mengerikan”, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu pada Isnin, iaitu hari pertama pendengaran kes genosid yang difailkan oleh Gambia.

Menteri Kehakiman Gambia Dawda Jallow berkata kes itu bukanlah sekadar isu teknikal undang-undang antarabangsa, sebaliknya melibatkan penderitaan manusia.

“Rohingya Myanmar telah menjadi sasaran untuk dimusnahkan,” katanya di hadapan panel hakim ICJ.

Gambia memfailkan kes itu pada 2019, di mana ia menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948 susulan operasi tenteranya pada 2017 yang memaksa ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dengan ramai daripada mereka dilaporkan dibunuh dan dirogol, selain kawasan perkampungan dibakar.

Peguam yang mewakili Gambia turut membentangkan keterangan saksi mengenai kes rogol beramai-ramai, penyeksaan seksual serta bayi yang dibakar hidup-hidup.

Ketika ini, lebih 1.17 juta pelarian Rohingya hidup dalam keadaan sesak di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Myanmar menafikan tuduhan genosid dan sebelum ini mendakwa tindakan tenteranya merupakan operasi keselamatan bagi menumpaskan kumpulan bersenjata Rohingya.

Pada 2019, pemimpin ketika itu Aung San Suu Kyi sendiri hadir di ICJ bagi mempertahankan negaranya, namun beliau kini berada dalam tahanan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Pada 2020, ICJ mengarahkan Myanmar tidak melakukan perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid, termasuk pembunuhan dan mewujudkan keadaan hidup yang menyebabkan kemusnahan fizikal kepada sesuatu kumpulan.

Keputusan muktamad kes ini dijangka mengambil masa beberapa bulan atau tahun, namun jika keputusan memihak kepada Gambia, ia dilihat berpotensi meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Myanmar.