Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan menjemput pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing untuk lawatan rasmi ke Malaysia bagi membincangkan penyelesaian isu pelarian serta penerimaan semula rakyat negara itu.
“Saya akan undang Presiden Myanmar melawat Malaysia secara rasmi,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.
Anwar berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jemaah Menteri kira-kira dua minggu lalu.
Menurut Anwar, rundingan diplomatik diperlukan bagi membuka ruang kepada penghantaran pulang secara berperingkat sekiranya Myanmar tidak mampu menerima jumlah yang besar serentak.
“Kalau tak boleh 200,000 sekaligus, ambil berperingkat dan kita akan bantu selesaikan,” katanya.
Beliau berkata Myanmar sudah bersetuju menerima 5,000 orang sebagai langkah awal.
“Pendekatan diplomasi perlu digunakan kerana kecaman semata-mata tidak akan menyelesaikan persoalan penghantaran pulang,” katanya.
Anwar berkata penyelesaian diperlukan berikutan kesukaran pelarian mendapatkan pekerjaan selain beban keselamatan dan ekonomi berkaitan penempatan di depot.
Namun, beliau turut menegaskan keselamatan mereka yang dihantar pulang perlu dipastikan.
“Boleh tak kita jamin keselamatan dia? Boleh tak kawasan itu kawasan selamat?” soalnya.
Malaysia sebelum ini mengumumkan fasa pertama penghantaran pulang melibatkan kira-kira 1,500 individu pada September, menerusi proses yang disifatkan kerajaan sebagai penghantaran secara sukarela.






















