Lapan ahli Parti Demokrat Amerika Syarikat menggesa Malaysia menarik balik dasar yang didakwa sebagai 'anti-Semitik' dalam tempoh 15 hari, selain mencadangkan Washington menggantung dana latihan ketenteraan sekiranya Putrajaya enggan mematuhinya.
Desakan itu dibuat menerusi sepucuk surat oleh lapan ahli tersebut yang diketuai Ahli Kongres Josh Gottheimer dan Greg Landsman kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Langkah itu diambil susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Malaysia akan mengusir mana-mana warganegara Israel yang ditemui di negara ini.
Selain mendesak program International Military Education Training digantung, ahli-ahli Demokrat itu turut menuduh Malaysia mengekalkan hubungan dengan Hamas dan mendakwa beberapa pejuang kumpulan itu pernah menjalani latihan di Malaysia.
"Ianya sesuatu yang amat tidak boleh diterima apabila seorang ketua kerajaan mengisytiharkan secara terbuka bahawa negaranya akan memburu dan mengusir warganegara sekutu rapat kita semata-mata kerana kerakyatan mereka. Ini tidak sepatutnya ditanggung oleh pembayar cukai Amerika.
"Oleh itu, kami menggesa anda melakukan semakan semula ke atas hubungan keselamatan dan ekonomi negara dengan Malaysia bagi memastikan ia memberi manfaat terbaik kepada AS," kata kumpulan berkenaan menerusi sepucuk surat.
Perkembangan ini menyusul tindakan tegas Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan serta menutup Network School, sebuah ruang kerja bersama di Forest City.
Langkah itu diambil selepas pemeriksaan mendapati berlakunya pelbagai pelanggaran undang-undang, selain dakwaan bahawa komuniti itu menempatkan warganegara Israel yang menggunakan pasport kedua.
Susulan pembatalan lesen tersebut, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut mengesahkan pembatalan status Malaysia Digital (MD) syarikat berkenaan kerana gagal mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan.
Laporan terbaharu mengesahkan premis berkenaan kini telah ditutup dan papan tanda perniagaannya telah ditanggalkan.






















