Tiga negeri Pantai Timur dijangka alami hujan berterusan awal Monsun Timur Laut

MetMalaysia turut memantau sistem tekanan rendah yang boleh menambah intensiti hujan, selain fenomena global seperti La Nina, El Nino, Indian Ocean Dipole (IOD) dan Madden-Julian Oscillation (MJO).

By
(FAIL) MetMalaysia menasihatkan orang ramai kekal berwaspada dan terus mendapatkan maklumat terkini.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka menjadi negeri pertama yang bakal berdepan hujan lebat berterusan susulan bermulanya Monsun Timur Laut pada Khamis, yang diramal berlanjutan sehingga Mac tahun depan, lapor Bernama

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang, monsun yang bergerak dari utara ke selatan lazimnya memberi kesan awal kepada tiga negeri Pantai Timur itu antara November hingga Disember, sebelum fasa berikutnya melibatkan Pahang dan Johor.

“Dari Disember hingga Januari, hujan berterusan dijangka tertumpu di selatan Terengganu, Pahang dan Johor. Sabah dan Sarawak juga berisiko bergantung kepada pergerakan monsun,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Beliau berkata pemantauan rapi dijalankan melalui imej satelit yang dikemas kini setiap 10 minit serta 19 radar cuaca di seluruh negara bagi mengesan pembentukan awan hujan dan lonjakan monsun — pemacu utama hujan lebat.

“Lonjakan monsun membawa angin kencang dari Laut China Selatan yang mengumpul lembapan dan menghasilkan hujan berterusan selama satu hingga tiga hari, sekali gus meningkatkan risiko banjir,” jelasnya.

MetMalaysia turut memantau sistem tekanan rendah yang boleh menambah intensiti hujan, selain fenomena global seperti La Nina, El Nino, Indian Ocean Dipole (IOD) dan Madden-Julian Oscillation (MJO).

Mengulas mengenai Taufan Fung-wong yang melanda Filipina dan Vietnam awal bulan ini, Ambun berkata ia tidak memberi kesan langsung kepada Malaysia, namun keadaan laut bergelora dikesan di perairan Sabah.

Beliau menasihatkan orang ramai, khususnya mereka di kawasan berisiko banjir, untuk kekal waspada dan mendapatkan maklumat terkini melalui aplikasi MyCuaca serta laman web dan saluran media sosial rasmi MetMalaysia.