Kadar keluar mengundi Myanmar cecah kira-kira 55 peratus
PRU 2025 Myanmar itu menyaksikan pemilihan wakil ke Parlimen dan Dewan Undangan Wilayah atau Negeri merangkumi ratusan kerusi, termasuk kerusi perwakilan etnik, sekali gus menandakan satu lagi fasa penting dalam proses politik Myanmar.
Kadar keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Myanmar 2025 mencecah kira-kira 55 peratus, dengan lebih 13.14 juta pengundi menunaikan hak mereka daripada keseluruhan 24.22 juta yang layak mengundi, lapor media tempatan Eleven Myanmar.
Menurut Ketua Pasukan Penerangan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Myanmar Mejar Jeneral Zaw Min Tun, angka yang direkodkan itu melibatkan tiga fasa pilihan raya, dengan penyertaan pengundi menunjukkan peningkatan berperingkat dari fasa pertama hingga fasa ketiga.
Secara keseluruhan, penyertaan pengundi melepasi 54 peratus dan dianggarkan sekitar 55 peratus.
Menurutnya, bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti proses pilihan raya, pemerhati pilihan raya dari dalam dan luar negara turut dijemput, termasuk wakil negara asing, organisasi antarabangsa serta misi diplomatik yang berpangkalan di Myanmar, selain liputan meluas oleh media antarabangsa dan tempatan.
Zaw Min Tun bagaimanapun berkata proses pilihan raya itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk cubaan untuk menggangu ketenteraman awam oleh kumpulan bersenjata.
Katanya, ini termasuk ugutan terhadap pengundi, tindakan merosakkan pusat mengundi, serangan bersenjata dan penyebaran maklumat palsu, yang mengakibatkan kematian dua penjawat awam serta kecederaan kepada beberapa orang awam.
“Walaupun berdepan serangan dan gangguan, pilihan raya umum berbilang parti ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan dan rakyat yang menyokong sistem demokrasi,” katanya, sambil menegaskan pilihan raya itu berlangsung secara bebas, adil dan telus dengan kehadiran pemerhati antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara yang juga Pemangku Presiden Jeneral Kanan Min Aung Hlaing turun ke pusat mengundi bagi bertemu pengundi dan meninjau sendiri proses pengundian.
PRU 2025 Myanmar itu menyaksikan pemilihan wakil ke Parlimen dan Dewan Undangan Wilayah atau Negeri merangkumi ratusan kerusi, termasuk kerusi perwakilan etnik, sekali gus menandakan satu lagi fasa penting dalam proses politik Myanmar.