Penuntut universiti hina Quran dihadapkan ke mahkamah
Tertuduh, S. Vikneswaran, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Seorang penuntut universiti berusia 21 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang pada Selasa, atas pertuduhan menghina kesucian kitab suci al-Quran dan memuat naik kandungan komunikasi yang menyakitkan hati melalui media sosial, bulan lalu.
Tertuduh, S. Vikneswaran, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad, menurut laporan Bernama.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan menghina al-Quran dengan niat untuk merendah-rendahkan agama Islam di sebuah premis di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 22 Februari.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan akaun "ryandaselva" di aplikasi Threads untuk menghantar kandungan jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan kedua, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Pendakwaan Pahang Sharizat Ismail sebelum itu mencadangkan wang jaminan sebanyak RM50,000 atas faktor kepentingan awam dan betapa seriusnya kesalahan itu yang menyentuh sensitiviti agama.
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan pelajar tahun akhir yang masih bergantung kepada bapanya.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh pernah dirujuk ke klinik bagi masalah psikologi ketika zaman persekolahan.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 April depan.