PERANG GAZA
2 min membaca
29 aktivis GSF Malaysia ditahan Israel tiba di Istanbul
Proses evakuasi tersebut diusahakan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan di mana beliau menghantar tiga pesawat khas Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon bagi membawa pulang kesemua aktivis.
29 aktivis GSF Malaysia ditahan Israel tiba di Istanbul
Kesemua aktivis Malaysia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad ini. / Foto: FB Sumud Nusantara Official / User Upload

Kesemua 29 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa baru-baru ini dilaporkan selamat tiba di Istanbul, Türkiye, semalam.

“Alhamdulillah, semua 29 aktivis Malaysia selamat tiba di Istanbul bersama aktivis antarabangsa Global Sumud Flotilla kira-kira jam 5.45 petang waktu tempatan,” menurut catatan Facebook Sumud Nusantara Official.

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan turut mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa delegasi negara berada dalam keadaan selamat, menurut laporan Berita Harian.

Bagaimanapun, terdapat rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan lanjut.

"Setakat ini semua dalam keadaan baik walaupun enam peserta termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu pemeriksaan kesihatan," kata Mohamad kepada BH.

Pembebasan ini melibatkan kesemua 428 aktivis kemanusiaan GSF 2.0 yang ditahan sebelum ini.

Difahamkan, proses evakuasi tersebut dijayakan hasil usaha diplomatik peringkat tertinggi, di mana Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan menghantar tiga pesawat khas Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon di kawasan pendudukan haram Israel bagi membawa pulang kesemua aktivis.

Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Sani Araby Abdul Alim Araby, pihak kedutaan Malaysia di Türkiye bersama Wisma Putra kini sedang bersiap sedia menguruskan kebajikan para peserta.

Kesemua delegasi Malaysia juga dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di hospital tempatan berikutan laporan adanya tahanan yang dikasari dan mengalami kecederaan sepanjang tempoh tahanan.

Kumpulan aktivis warga Malaysia dijangka akan berlepas pulang dari Istanbul dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad ini.