Malaysia miliki kelebihan 10 tahun dalam teknologi nadir bumi: Menteri MOSTI
Katanya, amat penting untuk Malaysia melindungi deposit REE bernilai RM809 bilion serta memperkukuh kemampuan teknologi dalam memproses bahan tersebut.
Malaysia mempunyai kelebihan 10 tahun dalam pembangunan teknologi pemprosesan unsur nadir bumi (REE), sekali gus memastikan kedaulatan negara terhadap sumber mineral berharga itu terus terpelihara, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.
Katanya, amat penting untuk Malaysia melindungi deposit REE bernilai RM809 bilion serta memperkukuh kemampuan teknologi dalam memproses bahan tersebut.
“China kini menguasai industri pemprosesan REE, namun Malaysia baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat berkaitan nadir bumi,” katanya ketika merasmikan Seminar Torium dan Nadir Bumi anjuran XThree Exploration di Putrajaya pada Isnin.
Chang menegaskan, kelebihan Malaysia terletak pada bakat tempatan serta jumlah deposit nadir bumi yang besar.
Namun, dengan moratorium eksport bahan mentah, katanya negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran dan pertengahan.
“Kita tidak boleh membiarkan China mengawal sepenuhnya sumber REE dunia kerana ia boleh menimbulkan kerentanan dalam rantaian bekalan global. Kita perlu membangunkan kapasiti teknologi kita sendiri,” jelasnya.
Tambah Chang, klausa untuk keluar (exit clause) dalam perjanjian dengan Amerika Syarikat dibuat bagi memastikan keterbukaan dan tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap mana-mana negara.
“Jika AS meminta lebih banyak REE dan kita tidak mampu memenuhi permintaan itu, tidak banyak yang boleh kita dilakukan. Tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pihak,” katanya.