Populariti Malaysia dalam kalangan pelancong Arab Saudi serta permintaan kukuh bagi perjalanan haji, umrah dan perniagaan menjadi antara faktor utama Riyadh Air memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertamanya di Asia Tenggara, lapor New Straits Times.
Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air, Vincent Coste berkata Malaysia merupakan antara destinasi utama rakyat Arab Saudi, selain wujudnya aliran penumpang yang kukuh dari Malaysia ke negara itu.
“Kuala Lumpur adalah destinasi yang hebat kerana terdapat banyak trafik terus, dan rakyat Saudi datang ke Malaysia untuk bercuti. Malaysia adalah antara destinasi utama bagi pelancong Saudi,” katanya.
Riyadh Air memulakan tiga penerbangan mingguan antara Riyadh dan Kuala Lumpur pada 30 Julai menggunakan pesawat Boeing B787-9 Dreamliner.
Menurut Coste, permintaan awal melebihi jangkaan walaupun jualan tiket dibuka dalam tempoh yang agak singkat.
“Saya sangat terkejut dan gembira. Kami sudah melihat permintaan kukuh, dengan ramai penumpang Saudi. Ini mengesahkan andaian kami bahawa rakyat Saudi menyukai Malaysia,” katanya.
Syarikat penerbangan itu turut menyasarkan untuk menjadikan Riyadh sebagai hab transit utama yang menghubungkan Asia dengan destinasi lain menerusi rangkaiannya.
Coste berkata kelebihan Riyadh berbanding hab penerbangan lain di rantau Teluk ialah pasaran domestiknya yang besar, di mana ibu negara Arab Saudi itu mempunyai hampir sembilan juta penduduk.
“Matlamat Riyadh Air adalah untuk menghubungkan Riyadh dengan seluruh dunia sebagai persediaan menghadapi Ekspo 2030 dan Piala Dunia. Banyak perkara sedang berlaku di negara ini dan syarikat penerbangan kami diwujudkan untuk memenuhi tujuan itu,” katanya.
Riyadh Air menyasarkan lebih 100 destinasi menjelang 2030, dengan Bangkok dan Manila antara destinasi Asia yang bakal dilancarkan pada September.
Coste berkata ketidaktentuan semasa di Timur Tengah tidak menjejaskan rancangan jangka panjang syarikat itu.
“Apa yang berlaku di Timur Tengah adalah situasi sementara. Kami merancang untuk berada di sini untuk 100 tahun akan datang, jadi kami menganggapnya sebagai halangan sementara,” katanya.
Riyadh Air turut menambah armadanya dengan Boeing B787 Dreamliner, Airbus A321neo dan A350-1000, di mana satu atau dua pesawat baharu dijangka diterima setiap bulan dalam tempoh lima tahun akan datang.

















