Sebanyak 14 lawatan rasmi dan misi perdagangan serta pelaburan yang diketuai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM59.5 bilion sepanjang tempoh 2025 hingga September tahun ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, misi berkenaan dilaksanakan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Menurut kementerian itu, daripada jumlah keseluruhan potensi pelaburan tersebut, sebanyak RM14.2 bilion telah diluluskan, manakala baki RM45.3 bilion kini berada pada pelbagai peringkat rundingan dan susulan.
MITI berkata demikian menerusi jawapan bertulis Parlimen yang dikeluarkan pada Isnin.
"Secara umumnya, sesuatu projek pelaburan memerlukan tempoh antara 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan bergantung pada skala, tahap kerumitan projek serta keadaan ekonomi semasa," menurut kementerian itu.
MITI turut menjelaskan bahawa MIDA akan terus mempergiat usaha susulan, pemantauan dan pemudahcaraan bagi memastikan peluang pelaburan yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan perdagangan, MITI memaklumkan lawatan rasmi ke beberapa negara termasuk Kenya, Brazil, United Kingdom, Türkiye, Jepun, Itali, Perancis, Korea Selatan, China, Thailand, India dan Rusia telah membuahkan hasil yang positif.
Menurut kementerian itu, penglibatan di peringkat tinggi menerusi lawatan tersebut berjaya menjana nilai eksport sebanyak RM6.77 bilion.
Selain itu, MATRADE terus mempelbagaikan usaha promosi eksport ke pasaran baharu di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin bagi memperluaskan jangkauan produk Malaysia di peringkat global.
"Dari Januari hingga September tahun ini, ketiga-tiga rantau tersebut merekodkan peningkatan eksport sebanyak 23.06 peratus kepada RM69.84 bilion.
Antara pasaran yang mencatat pertumbuhan dua angka ialah Namibia sebanyak 426.1 peratus, Angola (55.6 peratus), Brazil (41.0 peratus), Tanzania (35.9 peratus), Ethiopia (28.5 peratus) dan Kenya (11.6 peratus)," menurut MITI.





















