DUNIA
2 min membaca
Malaysia perketat kawalan maritim: 1,404 kapal dalam senarai sekatan antarabangsa dipantau
Tindakan drastik itu turut merangkumi sekatan berterusan terhadap entiti yang mempunyai hubungan dengan rejim Zionis dan aset yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Malaysia perketat kawalan maritim: 1,404 kapal dalam senarai sekatan antarabangsa dipantau
(FAIL) Bagi menangani taktik penukaran nama, bendera atau pemilikan kapal, kerajaan menguatkuasakan saringan pra-ketibaan secara ketat. / AFP

Kerajaan Malaysia telah memperketat mekanisme pemantauan dan saringan kapal bagi menghalang kapal-kapal yang tersenarai di bawah sekatan antarabangsa daripada memasuki perairan serta pelabuhan negara.

Langkah tegas itu dilaksana menerusi kerjasama padu pelbagai agensi merangkumi Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan polis.

Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, sebanyak lebih 1,000 kapal kini berada dalam radar pemantauan rapi.

"Sejumlah 1,404 kapal telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan APMM dan turut tersenarai di bawah pelbagai sekatan antarabangsa, termasuk Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) AS, EU, PBB, serta Pejabat Sekatan Australia," jelaskan kementerian tersebut.

Bagi menangani taktik penukaran nama, bendera, atau pemilikan kapal bagi menembusi perairan negara, kerajaan menguatkuasakan saringan pra-ketibaan secara ketat.

"Mekanisme ini merangkumi pengesahan identiti menggunakan nombor IMO — nombor unik pendaftaran yang kekal sepanjang hayat kapal," tambah kenyataan itu.

Pemantauan digital menerusi Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dan Perkhidmatan Trafik Vessel (VTS) turut diperkasakan bagi mengesan pergerakan mencurigakan.

Tindakan drastik itu turut merangkumi sekatan berterusan terhadap entiti yang mempunyai hubungan dengan rejim Zionis dan aset yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Mengenai kapal berkaitan Israel, kementerian menegaskan bahawa larangan berlabuh bagi kapal berbendera Israel serta pembatalan kebenaran operasi syarikat perkapalan ZIM yang dikuatkuasakan sejak Disember 2023 dikekalkan.

Sekiranya mana-mana kapal didapati terikat dengan aktiviti yang melanggar sekatan antarabangsa atau mengancam keselamatan negara, pihak berkuasa tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan tegas.

"Kerajaan boleh menolak permohonan kemasukan kapal ke perairan negara, menafikan kebenaran berlabuh, atau melarang aktiviti menurunkan kargo berlandaskan undang-undang tempatan dan dasar kerajaan," tegas kementerian itu lagi.

Meskipun begitu, sebagai negara maritim yang bertanggungjawab, Malaysia kekal menghormati prinsip innocent passage (laluan damai) selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS 1982).

Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk memperkemas kerjasama domestik dan memperkasakan pertukaran maklumat antarabangsa agar pelabuhan Malaysia tidak dieksploitasi oleh pihak yang cuba meloloskan diri daripada sekatan.

SUMBER:TRT Global