ASIA
2 min membaca
Hat Yai dilanda bau busuk sampah reput selepas banjir surut
Pegawai kesihatan menjelaskan longgokan sampah yang dibiarkan terlalu lama boleh menghasilkan gas hidrogen sulfida, menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.
Hat Yai dilanda bau busuk sampah reput selepas banjir surut
Majlis Perbandaran Hat Yai menjangkakan kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu. / Reuters
3 Disember 2025

Selepas air banjir mulai surut pada 2 Disember, bandar Hat Yai kini berdepan timbunan sampah reput yang menghasilkan bau busuk di seluruh bandar itu, lapor The Nation.

Penduduk yang membersihkan rumah mereka mula menyusun barangan yang rosak di tepi jalan, termasuk berhampiran pasar basah dan kedai daging, di mana hasil jualan yang rosak mula mengeluarkan bau yang kuat.

Beberapa kawasan turut berdepan kekurangan bekalan air untuk kerja pembersihan.

Lebih 100 lori sampah dikerahkan hari ini bagi mengalihkan longgokan sampah dari kawasan komuniti, namun jumlahnya terlalu besar di mana kerja-kerja pembersihan dianggarkan mengambil masa lebih seminggu.

Rakaman dron menunjukkan longgokan sampah yang menggunung tinggi, meliputi sekurang-kurangnya 1.6 hektar, dengan lori dari agensi tempatan membawa sisa banjir ke tapak pelupusan sementara di Persimpangan Saphan Dam sebelum dihantar ke tapak pelupusan utama bandar.

Sisa yang dibuang terdiri daripada perabot kayu, tilam, pakaian, barangan elektronik serta barangan perniagaan termasuk daripada peniaga-peniaga Pasar Kim Yong dan pasar lain sekitar Hat Yai.

Jentolak digunakan untuk memindahkan sisa ke lori enam tayar milik Majlis Perbandaran Songkhla sebelum dihantar ke Ko Taeo di Daerah Mueang untuk pelupusan, termasuk pemprosesan di loji Waste-to-Energy.

Secara asasnya, sampah harus dipisahkan kepada tiga kategori — sisa umum seperti perabot dan bahan binaan; sisa berbahaya seperti bahan kimia rumah, bateri dan elektronik; serta bahan kitar semula.

Namun, jumlah sisa yang terlalu besar menyebabkan proses pengasingan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Majlis Perbandaran Hat Yai menjangkakan kerja pembersihan komuniti mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, dengan tapak pelupusan Ko Taeo yang terletak 30km dari Hat Yai mampu menampung jumlah sisa tambahan itu.

Sementara itu, rangkaian kecemasan kesihatan memberi amaran bahawa isu utama kini ialah kebersihan awam berikutan bau busuk yang merebak, dengan langkah pembasmian kuman dan penyahbauan telah dijalankan di kawasan sisa sementara.

Pegawai kesihatan menjelaskan longgokan sampah yang dibiarkan terlalu lama boleh menghasilkan gas hidrogen sulfida, menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

Usaha semburan air serta larutan mikrob sedang dilakukan bagi mengurangkan bau serta mempercepat pereputan.