Penjawat awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dalam mesyuaratnya pada Selasa.
Dalam surat bertarikh 20 Oktober, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Mesyuarat JKSN Bilangan 3 Tahun 2026 dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Shamsul Azri berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan perlu memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan, untuk pelaksanaan segera.
“Sebarang pertanyaan atau permohonan penjelasan lanjut berhubung arahan ini boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, selaku agensi penyelaras bagi perkara ini,” menurut surat berkenaan.
Pada Selasa, Perdana Menteri menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif untuk mendapatkan panduan perjalanan jalan raya.
Anwar berkata saranan itu dibuat susulan risiko keselamatan terhadap maklumat dan data pergerakan pengguna yang menggunakan Waze, yang tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
Aplikasi TuJu dibangunkan LLM dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd dan dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pada 26 November 2025.




















