Kepesatan teknologi baharu kini merombak landskap peperangan secara drastik, sekali gus menuntut negara-negara ASEAN untuk menilai semula cara membina dan mengekalkan keupayaan pertahanan masing-masing.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata, kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi dan teknologi kuantum sedang mentakrif semula kuasa ketenteraan serta operasi masa hadapan.
Menurut beliau, teknologi ini bersifat disruptif dan mengalihkan fokus daripada platform tradisional kepada sistem autonomi yang saling terhubung.
"Teknologi seperti AI, sistem autonomi, teknologi angkasa, sistem hipersonik dan komunikasi generasi akan datang bakal memberi impak besar kepada operasi ketenteraan. Paling penting, penumpuan teknologi ini mencipta paradigma serta keupayaan baharu sepenuhnya dalam kancah peperangan," katanya.
Berucap pada Forum Putrajaya ke-8 yang bertema "Keselamatan ASEAN di Ambang Teknologi Baharu", beliau menegaskan konflik terkini menunjukkan peperangan kini lebih ditentukan oleh keupayaan integrasi teknologi berbanding pemilikan aset fizikal semata-mata.
Khaled menjelaskan tumpuan kepada platform canggih yang terlalu mahal tidak lagi memadai bagi konflik berintensiti tinggi.
Sebaliknya, terdapat keperluan untuk 'attritable mass' iaitu penggunaan sistem kos rendah dalam jumlah yang besar, seperti dron yang dihasilkan secara massa dan lebih mudah diselenggara.
"Dalam pendekatan ini, perkakasan menjadi sekunder kepada tulang belakang digital seperti infrastruktur pengkomputeran, data dan AI. Sektor pertahanan kini berada di titik peralihan kritikal. Inilah yang perlu difahami dan diambil tindakan oleh ASEAN demi kestabilan global,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa rantau ini memerlukan lebih daripada sekadar pelaburan, sebaliknya menuntut penstrukturan semula dan transformasi yang mengimbangi kemajuan teknologi dengan etika serta tanggungjawab bagi menjamin keamanan dan kemakmuran sejagat.















