Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru agar pendekatan dakwah pada masa kini dilaksanakan secara lebih canggih dan bersesuaian dengan cabaran semasa, termasuk usaha menangani isu Islamofobia serta persepsi negatif terhadap Islam di peringkat global.
Beliau menegaskan landskap cabaran zaman ini telah berubah secara drastik dan memerlukan strategi baharu yang lebih ampuh daripada para pendakwah serta institusi berkaitan.
"Cabaran hari ini bukan lagi soal penjajahan fizikal, tetapi penjajahan pemikiran. Sebab itu dakwah perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menggunakan pendekatan yang bijaksana dan memanfaatkan teknologi semasa," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan institusi wakaf dan dakwah untuk menguasai teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, serta pengkomputeran kuantum agar negara tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan sebarang kemajuan pesat dalam bidang teknologi mestilah sentiasa seimbang dengan nilai keimanan, akhlak dan jati diri.
"Saya sering menyebut, kita perlu 'menggapai di langit dan mengakar di bumi'. Menggapai di langit bermaksud menguasai teknologi baharu, manakala mengakar di bumi ialah memastikan kita kekal berpaksikan akidah, akhlak, budaya dan sejarah bangsa," jelas beliau lagi.
Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri menegaskan mengejar teknologi semata-mata tanpa menyerap nilai kemanusiaan hanya akan menyebabkan masyarakat hilang arah.
Sehubungan itu, katanya kemerdekaan negara perlu dimaknakan menerusi pembinaan sebuah negara maju yang tetap kukuh berteraskan nilai serta identiti sendiri.















