ASIA
2 min membaca
PM Anwar: Seimbangkan penguasaan teknologi dengan nilai al-Quran
Menyentuh situasi global, Anwar menegaskan bahawa konflik di Gaza, selatan Lubnan, serta serangan ke atas Iran seharusnya menjadi pengajaran penting tentang keperluan kesiapsiagaan ilmu dan teknologi.
PM Anwar: Seimbangkan penguasaan teknologi dengan nilai al-Quran
Anwar Ibrahim berkata penguasaan ilmu baharu merupakan persiapan kritikal bagi mendepani cabaran global semasa. / Facebook/Anwar Ibrahim
6 jam yang lepas

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam di negara ini untuk memperkukuh penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), tanpa meminggirkan nilai tradisi dan ajaran al-Quran, menurut laporan BERNAMA.

Menurut beliau, penguasaan ilmu baharu merupakan persiapan kritikal bagi mendepani cabaran global semasa, sekali gus memastikan umat Islam kekal teguh berpegang pada prinsip agama.

"Kita harus menggapai di langit melalui penguasaan ilmu baharu seperti AI dan teknologi maklumat, namun pada masa sama, landasan tradisi dan nilai Islam tidak boleh ditinggalkan. Inilah persiapan yang diperlukan untuk memecahkan tembok yang menghalang kemajuan kita," katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1447H/2026M malam tadi.

Menyentuh situasi global, Anwar menegaskan bahawa konflik di Gaza, selatan Lubnan, serta serangan ke atas Iran seharusnya menjadi pengajaran penting tentang keperluan kesiapsiagaan ilmu dan teknologi.

Beliau berkata, keganasan rejim Israel selama berdekad-dekad menunjukkan bahawa tanpa kekuatan akidah, sahsiah dan keupayaan teknologi, umat Islam akan terus berdepan kemunduran.

Terdahulu, serangan oleh Israel dan sekutunya dilihat hampir mustahil untuk ditangkis. Namun, Perdana Menteri berkata kini dunia mula melihat kemunculan kekuatan baharu melalui ketabahan dan keazaman yang digabungkan dengan kecanggihan teknologi.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk mereformasi sistem pendidikan negara agar terus berpaksikan tradisi sambil meneroka bidang teknologi baharu secara serius.

MTHQK 2026 yang bertemakan 'Kalam Ilahi Tradisi Diwarisi' menampilkan seramai 108 peserta yang bertanding dalam kategori tilawah dan hafazan selama enam hari sehingga 18 April ini.

Majlis kali ini turut memperlihatkan anjakan digital dengan pengenalan sistem eMTHQ sebagai platform utama pengurusan pertandingan serta penggunaan aplikasi AI dalam segmen 'ibrah'.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Penambahbaikan format pertandingan juga dilaksanakan tahun ini bagi meningkatkan tahap cabaran serta kualiti para peserta selari dengan arus pemodenan.