Indonesia beri amaran akan keluar dari Lembaga Keamanan Trump jika matlamat asal Palestin gagal

Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata Jakarta tidak akan teragak-agak meninggalkan lembaga berkenaan sekiranya penanda aras yang ditetapkan, termasuk pembentukan negara Palestin yang berdaulat, tidak dicapai.

By
Prabowo menandatangani piagam Lembaga Keamanan pada 22 Januari selepas ia dilancarkan oleh Presiden Donald Trump di Davos. (FAIL) / Reuters

Indonesia memberi amaran akan menarik diri daripada Lembaga Keamanan untuk Gaza yang diusahakan oleh Amerika Syarikat sekiranya inisiatif diplomatik itu gagal memastikan matlamat utama, khususnya kemerdekaan untuk bumi Palestin, lapor The Straits Times.

Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata Jakarta tidak akan teragak-agak meninggalkan lembaga berkenaan sekiranya penanda aras yang ditetapkan, termasuk pembentukan negara Palestin yang berdaulat, tidak dicapai.

“Matlamat akhirnya ialah kemerdekaan dan kedaulatan Palestin,” katanya selepas pertemuan Presiden Prabowo Subianto dengan pemimpin pertubuhan Islam di Istana Presiden pada 3 Februari.

Prabowo menandatangani piagam Lembaga Keamanan pada 22 Januari selepas ia dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Davos.

Namun, Sugiono menegaskan lembaga itu masih di peringkat awal dan belum mempunyai struktur yang jelas, termasuk sekretariat dan lokasi pejabat.

Kenyataan itu turut disokong Naib Pengerusi Majlis Ulama Indonesia Cholil Nafis yang berkata Indonesia tidak terikat untuk menyokong sebarang pendirian yang bercanggah dengan prinsipnya.

“Jika tiada perubahan dan pendirian tidak sejajar, Presiden bersedia menarik diri,” katanya.

Dalam pertemuan berasingan pada 4 Februari bersama bekas menteri luar dan timbalan menteri luar, bekas Timbalan Menteri Luar Dino Patti Djalal menyifatkan penyertaan Indonesia sebagai satu eksperimen diplomatik, dan bukannya penyelesaian mutlak.

Beliau melihatnya tindakan itu sebagai antara pilihan yang ada untuk mengekang pelanggaran gencatan senjata berulang kali di Gaza.

Penganalisis berkata siri libat urus Prabowo dengan pemimpin agama, diplomat dan ahli akademik mencerminkan kepekaan mengenai isu itu di peringkat domestik, di mana kerajaan berusaha mengimbangi tekanan dalaman sambil memastikan kepentingan Palestin tidak diketepikan.

Mereka turut mengingatkan bahawa penyertaan Indonesia kekal kontroversi dan mempunyai risiko politik, walaupun ia mencerminkan hasrat Jakarta untuk memainkan peranan lebih aktif di pentas global.