Hun Manet desak Thailand henti serangan, pilih jalan damai selesai isu sempadan

Hun Manet menegaskan bahawa jika Thailand menghormati undang-undang antarabangsa, ia tidak seharusnya menyerang kawasan perkampungan atas alasan mempertahankan kedaulatan.

By
(FAIL) “Jika Thailand benar-benar cintakan keamanan, ia perlu berpegang pada penyelesaian isu sempadan secara damai," kata Hun Manet. / Reuters

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa Thailand membuktikan dakwaan sebagai negara pencinta keamanan dengan tidak menggunakan kekerasan ketenteraan terhadap penduduk awam Kemboja dan menyelesaikan isu sempadan melalui mekanisme damai yang telah dipersetujui bersama, lapor Khmer Times.

Dalam kenyataan di media sosial pada malam Isnin, beliau menyatakan rasa terkejut apabila tentera Thailand mengumumkan rancangan untuk menggunakan kekerasan bagi “mengambil semula” kawasan yang didakwa sebagai wilayahnya, termasuk menembak artileri dan menggerakkan pasukan tentera ke beberapa kampung di Banteay Meanchey.

“Jika Thailand benar-benar cintakan keamanan, ia perlu berpegang pada penyelesaian isu sempadan secara damai menggunakan mekanisme bersama yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Hun Manet menegaskan bahawa jika Thailand menghormati undang-undang antarabangsa, ia tidak seharusnya menyerang kawasan perkampungan atas alasan mempertahankan kedaulatan.

Beliau berkata kedua-dua negara telah lama menubuhkan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC), yang bekerja lebih 20 tahun berdasarkan dokumen sah peninggalan era kolonial Perancis, termasuk rekod rasmi delimitasi sempadan 1908–1909 dan 1919–1920.

Beliau berkata kedua-dua pihak baru-baru ini bersetuju menghantar pasukan tinjau bersama untuk memasang penanda sementara di beberapa segmen sempadan di Banteay Meanchey dan Battambang, dan kerja-kerja tersebut berjalan lancar dengan kerjasama teknikal yang kukuh.

Penandaan antara tiang sempadan 52–59 hampir siap sepenuhnya, manakala segmen 42–47 turut menunjukkan kemajuan mengikut prosedur teknikal dan perjanjian terdahulu, tambahnya.

Hun Manet menyifatkan kenyataan Tentera Wilayah Pertama Thailand yang mahu menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan sebagai bercanggah dengan semangat penyelesaian damai melalui proses menanda sempadan.

Beliau menzahirkan harapan agar Thailand kekal menggunakan cara yang aman dan sah di sisi undang-undang dalam menentukan sempadan, sambil menegaskan bahawa Kemboja tidak bercadang melanggar kedaulatan mana-mana jiran.

“Apa pun hasil tinjauan, Kemboja akan menghormatinya. Saya berharap Thailand juga ikhlas berbuat demikian,” katanya.