China perkukuh hubungan dengan empat negeri utara Malaysia

Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Zhou Youbin berkata pelan lima tahun baharu yang bermula tahun ini memberi penekanan kepada pertumbuhan berkualiti tinggi, kebergantungan kendiri teknologi dan industri baharu.

By
China melihat potensi besar untuk memperdalam kerjasama industri, teknologi dan modal insan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis. (FAIL) / Reuters

China melihat potensi besar untuk memperdalam kerjasama industri, teknologi dan modal insan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis, sejajar dengan Pelan Pembangunan Lima Tahun ke-15 negara itu yang selari dengan keutamaan pertumbuhan Malaysia, lapor The Star.

Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Zhou Youbin berkata pelan lima tahun baharu yang bermula tahun ini memberi penekanan kepada pertumbuhan berkualiti tinggi, kebergantungan kendiri teknologi dan industri baharu, selari dengan agenda Malaysia dalam ekonomi digital, peralihan tenaga dan industri.

Beliau berkata syarikat China dalam sektor fotovoltaik, kenderaan elektrik dan bateri litium mula bertapak di negeri-negeri utara Malaysia seperti Tanjung Malim Automotive Valley di Perak dan Taman Perindustrian Kulim di Kedah, sekali gus membina ekosistem industri yang lebih menyeluruh.

Di Pulau Pinang, Zhou berkata usaha kerajaan negeri untuk memacu industri semikonduktor dengan reka bentuk litar bersepadu telah membuka ruang kerjasama baharu.

Ini terutamanya memandangkan China mencatat kemajuan ketara dalam bidang berkenaan dengan beberapa syarikat bersaing di peringkat global.

Mengulas kebimbangan mengenai persaingan, beliau berkata pelaburan China di Malaysia telah beralih daripada aktiviti pemprosesan rendah kepada sektor lebih automatik, berintensifkan teknologi dan mesra alam, dengan syarikat China kini menjadi penyumbang jangka panjang kepada transformasi industri melalui pemindahan teknologi dan kemahiran.

Dalam aspek modal insan, Zhou berkata kerjasama pelancongan, pendidikan dan kebudayaan semakin berkembang susulan aturan bebas visa bersama serta peningkatan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan bandar utama China.

Beliau turut menegaskan komitmen konsulat untuk memperkukuh penglibatan dengan empat negeri di utara dalam sedekad yang akan datang.