Pelancongan Thailand berdepan ketidaktentuan susulan konflik Timur Tengah

Kerugian hasil pelancongan dianggarkan mencecah THB300 bilion (RM37 bilion), dengan pasaran dari Timur Tengah dan Eropah menjadi kumpulan paling terkesan akibat gangguan jadual penerbangan global.

By
Sasaran awal 36.7 juta pelancong bagi 2026 kini diturunkan kepada 33 juta orang. (FAIL) / Reuters

Sektor pelancongan Thailand kini berdepan tamparan hebat dan ketidaktentuan melampau susulan konflik yang meruncing di Timur Tengah, menurut laporan The Nation.

Presiden Majlis Pelancongan Thailand (TCT) Chai Arunanondchai mendedahkan krisis tersebut telah menjejaskan kos perjalanan dan jumlah kedatangan pelancong asing secara drastik dalam tempoh hanya seminggu selepas pertempuran meletus.

Konflik berkenaan memberi impak besar kepada syarikat penerbangan, terutamanya bagi laluan jarak jauh dari Eropah yang bergantung kepada hab penerbangan utama seperti Dubai, Abu Dhabi, dan Doha.

Penutupan ruang udara telah memaksa banyak perkhidmatan dibatalkan, manakala tambang penerbangan bagi laluan ke Eropah dilaporkan melonjak hampir 100 peratus, sekali gus merencatkan aliran pelancong antarabangsa.

TCT menjangkakan kedatangan pelancong asing mungkin merosot sekurang-kurangnya 300,000 orang pada bulan Mac sahaja sekiranya situasi ini berlarutan selama sebulan.

Kerugian hasil pelancongan dianggarkan mencecah THB300 bilion (RM37 bilion), dengan pasaran dari Timur Tengah dan Eropah menjadi kumpulan paling terkesan akibat gangguan jadual penerbangan global.

Bagi mengimbangi kelembapan pasaran jarak jauh, Thailand kini beralih arah dengan memperkasakan strategi pemasaran agresif ke pasaran jarak dekat seperti Malaysia, Singapura, India, Jepun, dan Australia.

Langkah ini diambil memandangkan sasaran awal 36.7 juta pelancong bagi 2026 kini dijangka sukar dicapai, dengan ramalan terbaharu diturunkan kepada 33 juta orang.

Meskipun situasi suram, terdapat trend unik apabila golongan kaya dari Israel dan negara Teluk mula menjadikan Thailand sebagai lokasi perlindungan jangka panjang.

Permintaan terhadap pelaburan hartanah seperti vila mewah di Koh Samui dan Phuket dilaporkan meningkat apabila kumpulan pelancong premium ini memilih untuk menetap lebih lama bagi mengelak zon konflik.

Dalam pada itu, pengusaha industri pelancongan menggesa kerajaan Thailand untuk campur tangan melalui pemberian potongan cukai dan penstabilan harga tenaga bagi mengurangkan kos operasi.

Mereka turut memohon kelonggaran kadar faedah bank dan pinjaman mudah bagi membantu perniagaan bertahan daripada krisis luar kawalan yang dicetuskan oleh faktor geopolitik itu.