DUNIA
2 min membaca
Malaysia kecam tindakan Israel menceroboh Al-Aqsa, meluaskan penempatan haram
Pertemuan tersebut bermatlamat memelihara status perundangan dan sejarah bandar suci itu, melindungi tempat ibadat Islam serta Kristian, dan memperkukuh usaha antarabangsa demi mencapai keamanan yang adil berasaskan penyelesaian dua negara.
Malaysia kecam tindakan Israel menceroboh Al-Aqsa, meluaskan penempatan haram
(FAIL) Pihak berkuasa dan penduduk haram Israel terus melanggar undang-undang dengan menceroboh Masjid Al-Aqsa berulang kali. / Reuters

Malaysia menyelar pencerobohan yang dilakukan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa serta tindakan berterusan rejim ganas itu dalam meluaskan penempatan haramnya di wilayah Palestin yang diduduki.

Pendirian ini disuarakan sewaktu "Ministerial Meeting in Support of Jerusalem and Its Holy Sites" yang berlangsung di Amman, Jordan.

Delegasi Malaysia yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Ahmad Faisal Muhamad, menyertai persidangan berkenaan bersama negara-negara Arab dan Islam lain bagi menyelaras tindakan bersama menentang tindakan rejim Zionis di Baitulmaqdis.

Pertemuan tersebut bermatlamat memelihara status perundangan dan sejarah bandar suci itu, melindungi tempat ibadat Islam serta Kristian, dan memperkukuh usaha antarabangsa demi mencapai keamanan yang adil berasaskan penyelesaian dua negara.

"Malaysia menegaskan bahawa Baitulmaqdis merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT). Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk mengubah status perundangan, sejarah, demografi dan agama bandar tersebut," tegas kenyataan rasmi delegasi Malaysia sewaktu mesyuarat berkenaan.

Kenyataan itu turut mengutuk keras tindakan Israel yang memperlekeh pencerobohan di tapak suci umat Islam.

"Malaysia mengecam pencabulan berterusan terhadap Masjid Al-Aqsa serta pencerobohan melalui perluasan penempatan haram Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa," tambah kenyataan itu.

Malaysia pada masa sama mengulangi ikrar sokongan terhadap Hashemite Custodianship dan perjuangan rakyat Palestin.

"Malaysia kekal dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan sebelum 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," menurut delegasi tersebut.

SUMBER:TRT Global