Saif Sharabati
Saya mula bertemu dengan Aysenur Ezgi Eygi pada Mei lepas di perkemahan siswa di Amerika Syarikat. Kami berdiri dengan semangat soldariti dan setiakawan dengan Palestin dan menentang genosid Israel yang berlarutan di Gaza di University of Washington. Pada waktu itu, Ayse adalah salah seorang yang mengetuai dan memainkan peranan penting dalam pergerakan siswa.
Kehidupan wanita muda berbangsa Turki-Amerika itu penuh dengan semangat untuk mendapatkan keadilan untuk warga Palestin dan juga untuk perjuangan yang lain semasa beliau seorang siswa.
Nasib menentukan kita bertemu berdasarkan perjuangan untuk kebebasan warga Palestin. Ayse yang saya kenali adalah seorang insan yang hebat – beliau baik hati, berani, dan adalah seorang pemimpin yang kuat. Wanita muda berusia 26 tahun itu sangat peramah dan mempunyai ramai kawan – senyuman sentiasa terukir di wajahnya dan dia selalu bertenaga positif.
Ayse tidak pernah jemu menolong orang dan menayakan khabar kawan-kawannya – sama ada mereka perlukan apa-apa jenis pertolongan, walaupun beliau mempunyai jadual yang sangat padat.
Kesamarataan untuk semua
Salah satu wataknya yang terserlah adalah semangat Ayse yang membakar. Dia juga seorang yang suka berjenaka dan asyik cuba membuatkan orang berasa gembira. Tapi dia juga ada perwatakan yang serius apabila mengambil peranan sebagai aktivis.
Kesedaran sosial beliau sentiasa melibatkan masa mengatur acara. Cinta Ayse kepada Palestine sungguh mendalam dan beliau memainkan peranan yang penting dalam perancangan perkemahan di universiti – berhubung dengan siswa-siswi dan pengurusan universiti.
Dia lakukan semua ini semasa beliau seorang siswa, dan dia berkerja keras untuk peperiksaannya agar dia boleh mendapat markah yang bagus dan menamatkan pelajarannya di Universiti Washington.
Ayse adalah insan yang mempercayai bahawa keadilan bukanlah bererti berjuang untuk Palestin sahaja, tetapi ia juga perjuangan kesamarataan untuk semua.
Perjalanan Ayse sebagai seorang aktivis muda, perkembangan kesedaran sosial, juga melibatkan perjalanan ke luar negara. Beberapa tahun dahulu, dia pernah ke Myanmar dan menyaksikan genosid terhadap warga Rohingya di Asia Tenggara.
Di AS, bandar Seattle digelarnya sebagai rumah sejak dia meninggalkan bandar Antalya di Turki pada usia yang muda. Beliau juga aktif dalam perjuangan untuk keadilan kaum sepertimana penglibatan Ayse dalam pergerakan Black Lives Matter (BLM).
Ayse jujur orangnya; dia buat sesuatu dengan seikhlas hati dan dengan penuh kasih sayang. Saya ingat bagaimana Ayse cintakan kehidupan dan bagaimana dia begitu gembira untuk menyambung belajar dan menjejakkan kaki ke kawasan yang dijajah di Tebing Barat.
Kunjungan ke Tebing Barat
Ayse cukup bersemangat untuk pergi ke sana, untuk menjadi saksi kepada realiti yang sebenarnya dan realiti yang rakyat Palestin terpaksa mengharungi oleh penjajahan tentera sejak 1967 di Tebing Barat serta penghapusan kaum etnik atau ethnic cleansing.
Sejak serangan Israel kepada Palestin dipergiatkan pada Oktober lepas, tentera Israel telah membunuh lebih dari 41,000 orang awam yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Di Tebing Barat, tentera Israel telah membunuh hampir 700 orang awam dan mencederakan lebih dari 5,700 orang awam.
Di dalam konteks ini, semasa kami kerap menghantar mesej kepada satu sama lain, Ayse mengakui bahawa ayah beliau dan salah satu profesor universiti beliau risaukan dengan kehadiran Ayse di sana.
Namun dia tetap teguh dengan pendiriannya. Dia masih mahu pergi ke kawasan jajahan Tebing Barat untuk memberi sokongan kepada pergerakan tentangan Palestin terhadap jajahan Israel. Untuk melihat dengan mata sendiri bagaimana keadaan dan apabila pulang, beliau mahu sambung menyampaikan mesej tersebut kepada satu dunia – satu naratif yang kerap ditapis dan disekat.
Ayse memang peka dengan bahaya yang ada di kawasan itu, namun dia masih mahu pergi – untuk berdiri bersama rakyat Palestin yang menghadapi genosid dengan dunia bagai acuh tidak acuh dengan situasi mereka di Gaza.
Dia memilih untuk mengikuti aktivis keamanan dari International Solidarity Movement (ISM) kerana dia mahu terus menghantar mesej kepada dunia dengan menunjukkan realiti penjajahan Israel serta sikap mereka yang biadap dan tidak bertamadun.
Panggilan terakhir saya dengan Ayse adalah beberapa jam sebelum beliau dibunuh. Kami berborak selama lebih dua jam.
Pada waktu itu, saya merasakan Ayse menceritakan pengalaman dia ikhlas dari hati. Dia memberitahu saya betapa kejamnya penjajahan Israel dan adalah sangat sukar untuk cuba hidup dibawah jajahan – ini satu realiti yang rakyat Palestin seperti keluarga saya dan saya telah alami. Saya pernah ditahan sebelum ini; pasukan menyamar menahan abang saya. Bapa saya juga pernah ditahan dan pernah sekali beliau ditembak dikaki.
Hidup dibawah penjajahan
Sepanjang Tebing Barat dan sejauh kota suci Jerusalem, anda terpaksa melalui banyak pusat pemeriksaan, dan anda akan mengalami sendiri apartheid dan bahaya kehidupan di sana.
Banyak warga Palestin telah ditembak dan dibunuh tanpa apa-apa sebab. Rakan-rakan Palestin saya di sana semua sudah alami pengalaman ini, dimana hidup mereka penuh dengan melepasi pusat-pusat pemeriksaan, termasuklah mendapat ancaman ke atas rumah mereka atau menafikan mereka atau tetamu untuk keluar masuk dari komuniti mereka. Banyak juga yang menghadapi ketidakadilan dengan terpaksa beratur berjam-jam lamanya.
Semasa panggilan kami, Ayse berkongsi kisah-kisah yang dia dengar dari orang tempatan serta semua penderitaan yang dilakukan oleh sistem penjajahan ini.
Kami juga berbual tentang pengalaman beliau di Jerusalem dan bagaimana tentera Israel tidak membenarkannya melawat Masjid Al-Aqsa.
Dia juga berhadapan dengan kuasa penuh penjajah, sepertimana yang dilalui oleh rakyat Palestin. Dia memberitahu saya bahawa askar Israel mengambil pasport beliau di sempadan dan dengan sengaja membuatnya tunggu untuk masa yang agak lama sambil menyoal dia berkenaan dengan lawatannya sebelum membenarkan Ayse masuk.
“Kami akan mengingati Ayse sebagai seorang yang hidup untuk keadilan dan untuk kebebasan Palestin hinggalah ke akhir nyawanya. Kami tidak akan melupakannya. Dunia tidak akan melupakan Ayse, dan kami akan terus berjuang sehinggalah penjajahan tersebut tamat.”
Isu utama yang dibincangkan oleh Ayse adalah penderitaan mereka dibawah penjajahan walaupun beliau baru sahaja berada di sana untuk beberapa hari.
Legasi
Sebelum pembunuhannya yang tragis, Ayse telah membuat perancangan. Dia sepatutnya bertemu dengan keluarga saya di bandar Hebron untuk beberapa hari, tapi apakan daya.
Kami akan mengingati Ayse sebagai seorang yang hidup untuk keadilan dan untuk kebebasan Palestin hinggalah ke akhir nyawanya. Kami tidak akan melupakannya. Dunia tidak akan melupakan Ayse, dan kami akan terus berjuang sehinggalah penjajahan tersebut tamat.
Kami akan tetap bergerak di atas jalan yang dibina oleh Ayse dan akan sebarkan mesej untuk keadilan dan kesamarataan kepada seluruh dunia sehinggalah kami akan melihat perubahan.
Legasi Ayse adalah untuk menyatukan orang ramai dari komuniti beliau. Untuk memperingati beliau, penganjur komuniti dan kumpulan-kumpulan keadilan akan berkumpul, mereka mendapat inspirasi dari keteguhan dan kesedaran beliau untuk bekerjasama kepada perubahan yang Ayse tahu agak sukar untuk kecapi tetapi perjuangan harus diteruskan.
SUMBER: TRT World
Saif Sharabati
Saif Sharabati adalam rakyat Palestin-Amerika yang dilahirkan di Seattle, WA, dan dibesarkan di Tebing Barat. Sejak beliau pindah ke Seattle pada 2021, Sharabati terlibat dalam aktivis perpaduan Palestin dan merupakan suara lantang berkenaan Palestin di dalam komuniti beliau.















