Kemboja tambah import bahan api dari Malaysia, Singapura susulan sekatan China, Vietnam

Menteri Tenaga Kemboja, Keo Rottanak, memaklumkan sekitar satu pertiga daripada 6,300 stesen minyak di negara itu terpaksa ditutup minggu lalu akibat ketidaktentuan harga.

By
Kemboja kini berdepan kekurangan bekalan bahan api dan mula meningkatkan import dari rakan serantau. (FAIL) / AP

Kemboja mula meningkatkan import bahan api dari pembekal di Malaysia dan Singapura bagi menampung kekurangan bekalan ekoran sekatan eksport oleh China dan Vietnam.

Langkah itu diambil ketika konflik Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran mula menjejaskan bekalan bahan api di peringkat global.

Menteri Tenaga Kemboja, Keo Rottanak, memaklumkan sekitar satu pertiga daripada 6,300 stesen minyak di negara itu terpaksa ditutup minggu lalu akibat ketidaktentuan harga.

Walau bagaimanapun, keadaan kini semakin stabil dengan kira-kira 5 peratus stesen minyak sahaja yang masih ditutup setakat ini.

Vietnam dan China telah mengehadkan eksport bahan api sekurang-kurangnya sehingga akhir Mac bagi mengelakkan kekurangan domestik.

Sebelum ini, Thailand dan Vietnam membekalkan lebih 60% keperluan petroleum Kemboja, namun konflik bersenjata dan sekatan serantau memaksa Phnom Penh mempelbagaikan sumber bekalannya.

Rottanak menjelaskan kerjasama dengan syarikat global seperti Total dan Chevron membantu mengurangkan risiko bekalan.

Walaupun menurut Rottanak simpanan semasa masih menyamai tahap sebelum ini, data menunjukkan import dari Malaysia dan Singapura bagi bulan ini meningkat 25% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sebagai langkah keselamatan tenaga jangka panjang, Kemboja turut mengadakan perbincangan dengan syarikat Australia, Woodside Energy, bagi mendapatkan bekalan gas asli cecair (LNG).

Langkah ini bertujuan menyokong loji kuasa 900 megawatt yang dijangka beroperasi tahun depan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada laluan perdagangan Timur Tengah yang kini terganggu.

Selain itu, Rottanak menekankan kepentingan tenaga boleh diperbaharui yang telah membantu menstabilkan import bahan api sejak 2022.

Beliau turut menyeru agar projek grid kuasa ASEAN dipercepatkan bagi membina daya tahan serantau yang lebih kukuh dalam menghadapi krisis geopolitik masa hadapan.