ASIA
2 min membaca
Bank Pembangunan Asia umum pelan AS$70 bilion memperkasa tenaga, infrastruktur digital
Menerusi Inisiatif Grid Kuasa Pan-Asia, ADB akan memfokuskan kepada penyambungan sistem kuasa nasional dan subregional bagi membolehkan aliran tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan.
Bank Pembangunan Asia umum pelan AS$70 bilion memperkasa tenaga, infrastruktur digital
Bank Pembangunan Asia mengumumkan pelan pelaburan besar-besaran bernilai AS$70 bilion. / Foto: ADB / User Upload

Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Ahad mengumumkan pelan pelaburan besar-besaran bernilai AS$70 bilion (kira-kira RM331 bilion) bagi inisiatif tenaga baharu dan infrastruktur digital yang dijadualkan sehingga tahun 2035.

Langkah ini dilihat sebagai pemangkin utama dalam mencorak masa depan ekonomi rantau Asia Pasifik.

Menerusi Inisiatif Grid Kuasa Pan-Asia, ADB akan memfokuskan kepada penyambungan sistem kuasa nasional dan subregional bagi membolehkan aliran tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan.

Manakala projek Lebuhraya Digital Asia-Pasifik pula bertujuan merapatkan jurang infrastruktur digital bagi menyokong pertumbuhan dipacu kecerdasan buatan (AI).

"Akses kepada tenaga dan digital akan menentukan masa depan rantau ini. Dua inisiatif ini membina sistem yang diperlukan Asia dan Pasifik untuk berkembang, bersaing dan berhubung," kata Presidennya, Masato Kanda dalam satu kenyataan.

Projek Grid Kuasa Pan-Asia menyasarkan dana AS$50 bilion menjelang 2035 untuk infrastruktur kuasa rentas sempadan.

Selebihnya, sebanyak AS$20 bilion diperuntukkan bagi Lebuhraya Digital untuk membiayai rangkaian gentian optik, satelit dan pusat data serantau demi melahirkan ekonomi sedia AI.

"Dengan menghubungkan grid kuasa dan rangkaian digital rentas sempadan, kita dapat mengurangkan kos, meluaskan peluang, serta membawa bekalan kuasa dan akses digital yang stabil kepada beratus juta penduduk," tambah beliau lagi.

Inisiatif tersebut menyasarkan integrasi kira-kira 20 gigawatt tenaga boleh diperbaharui dan meluaskan akses tenaga kepada 200 juta penduduk.

Selain itu, ADB menjangkakan penciptaan 840,000 peluang pekerjaan serta pengurangan pelepasan karbon sektor kuasa serantau sebanyak 15 peratus menjelang tempoh matang projek tersebut.

SUMBER:AA