Perjanjian ART tidak sah susulan keputusan Mahkamah Agung AS
Menurut Johari, pentadbiran Trump kini menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan AS 1974 yang mengenakan tarif 10% tersebut terhadap Malaysia.
Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini tidak lagi terpakai, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Ini menyusul selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump sebelum ini.
Johari menjelaskan bahawa di bawah perjanjian yang dimeterai pada Oktober tahun lalu, Malaysia sepatutnya berhadapan dengan kadar tarif sebanyak 19%.
Bagaimanapun, situasi semasa menyaksikan Malaysia hanya tertakluk kepada kadar tarif global sebanyak 10%.
Menurut beliau, pentadbiran Trump kini menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan AS 1974 yang mengenakan tarif 10% tersebut terhadap Malaysia.
"Dalam tempoh lima bulan ini, AS akan menyemak semula sama ada mereka mahu menggunakan Seksyen 301 bagi menetapkan kadar tarif baharu," katanya pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Kuala lumpur, pada Ahad.
Johari menegaskan Malaysia sedang memantau rapi perkembangan dasar perdagangan AS, termasuk menilai skop dan implikasi keputusan Washington yang mengenakan tarif ke atas barangan import dari semua negara.
Beliau turut mengesahkan bahawa Malaysia masih belum meratifikasi perjanjian ART tersebut walaupun ia telah ditandatangani tahun lalu.
Dalam pada itu, AS dilaporkan akan menilai empat faktor utama sebelum menentukan kadar tarif baharu.
Antaranya termasuklah kemungkinan lambakan produk Malaysia di pasaran AS, isu buruh paksa, serta penggunaan pekerja tanpa izin atau buruh kanak-kanak dalam proses pengeluaran.
Faktor kelestarian alam sekitar dan pemberian subsidi kerajaan kepada pengeksport turut menjadi kriteria penilaian.
"Sama seperti penilaian alam sekitar oleh Eropah, AS juga mengambil kira aktiviti yang merosakkan alam sekitar selain memeriksa sama ada kerajaan menyediakan subsidi kepada pihak pengeksport," tambah beliau lagi.