Malaysia mengecam keras tindakan Israel memintas serta menahan aktivis dan sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, sambil menuntut pembebasan segera serta tanpa syarat semua individu terbabit termasuk 12 rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggunakan semua saluran termasuk usaha diplomasi dan tindakan undang-undang bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia daripada tahanan rejim Zionis.
“Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan. Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial.
Menurut Anwar GSF bukan sekadar konvoi bantuan tetapi simbol perpaduan dan solidariti kemanusiaan yang membawa harapan kepada rakyat Gaza yang terus menderita akibat sekatan berpanjangan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Tindakan Israel, tegasnya merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa serta penghinaan terhadap hak asasi rakyat Palestin.
Beliau menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri ketika hak dan maruah rakyatnya dicabuli sebaliknya akan terus mendesak kezaliman terhadap Palestin dihentikan.
"Flotila ini membawa sinar harapan, tetapi Israel memilih untuk menafikan hak kemanusiaan itu,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Wisma Putra menegaskan bahawa GSF adalah misi sah dan aman menurut undang-undang antarabangsa, selain kewajipan moral yang perlu dihormati oleh masyarakat dunia.
“Pada saat rakyat Palestin berhadapan dengan genosid, kebuluran dan krisis kesihatan, misi ini adalah satu tanggungjawab kemanusiaan yang tidak boleh dinafikan,” menurut kementerian itu.
Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan pencerobohan Israel serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza dengan selamat tanpa halangan.
GSF merupakan usaha terbaharu gabungan aktivis antarabangsa yang menghimpunkan sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, ASEAN dan Eropah, bagi menghantar bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas ke Gaza.
Misi flotila pernah digerakkan beberapa kali sejak 2010, dengan serangan Israel ke atas Mavi Marmara yang mengorbankan aktivis antarabangsa masih menjadi ingatan dunia tentang risiko besar yang dihadapi konvoi kemanusiaan ke wilayah Palestin itu.