DUNIA
4 min membaca
Apa yang Israel buat di Sweida, Syria?
Serangan terbaru Israel ini menambah kepada pendudukan berterusan Israel ke atas wilayah Syria di selatan negara itu.
Apa yang Israel buat di Sweida, Syria?
Kepulan asap hitam kelihatan selepas serangan dari rejim Zionis Israel di Sweida, Syria, pada 15 Julai, 2025. / AA

Israel telah meningkatkan serangan bomnya ke atas wilayah Sweida, Syria, yang digambarkan oleh kerajaan Syria sebagai "serangan khianat" dan pelanggaran besar undang-undang antarabangsa.  

"Tindakan jenayah ini merupakan pelanggaran nyata terhadap kedaulatan Republik Arab Syria, pencabulan prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan pada hari Selasa.  

"Ia adalah contoh terkutuk bagi serangan berterusan dan campur tangan luar dalam hal ehwal negara berdaulat."  

Serangan udara Israel ini berlaku ketika pentadbiran Presiden AS Donald Trump telah mengangkat sekatan ke atas Syria, dan Damsyik akhirnya cuba meneruskan perdagangan dan kewangan dengan negara lain setelah bertahun-tahun terpencil.  

Apa yang sedang berlaku? 

Serangan udara Israel bermula awal pagi Selasa dan masih berterusan walaupun Damsyik mengumumkan gencatan senjata dalam pertempuran antara militan Druze dan pejuang puak Badwi, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera sejak hari Ahad.  

Israel telah menyerang Syria beberapa kali dengan alasan melindungi komuniti Druze. Namun, kepimpinan spiritual Druze di Syria telah menggesa semua pihak bersenjata di Sweida menyerah diri dan bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan keselamatan kerajaan Syria.  

Druze adalah kumpulan minoriti yang kepercayaannya berasal daripada cabang mazhab Ismaili dalam Islam Syiah tetapi kemudian berkembang menjadi sistem kepercayaan yang lebih bebas dan berbeza.  

Komuniti Druze tertumpu terutamanya di wilayah selatan Syria, Sweida, dengan populasi tambahan di beberapa pinggir Damsyik, terutamanya Jaramana dan Ashrafiyat Sahnaya. Sebilangan kecil Druze juga menetap di Israel.  

Kerajaan Syria telah berjanji untuk melindungi Druze dan melibatkan mereka dalam proses politik.  

Pandangan dalam komuniti  

Dalam komuniti Druze, pendapat berbeza mengenai cara menghadapi landskap politik semasa.  

Sebahagian Druze menyokong dialog dengan pihak berkuasa, manakala yang lain lebih cenderung kepada pendirian tegas atau konfrontasi.  

Ketegangan baru-baru ini meningkat setelah anggota puak Badwi di Sweida dilaporkan mendirikan sekatan jalan, menyerang seorang Druze, dan merompak hartanya. Kejadian ini mencetuskan kitaran balas dendam dan penculikan antara kedua-dua komuniti.  

Walaupun pasukan kerajaan dihantar untuk menstabilkan wilayah, pertempuran masih berterusan.  

Pihak berkuasa menyalahkan kumpulan "haram" untuk kekacauan ini dan bertindak dengan mengenakan perintah berkurung bagi mengawal keadaan.  

Serangan terkini Israel, seperti yang digambarkan oleh Kementerian Luar Syria, berlaku di atas pendudukan berterusan Israel ke atas wilayah Syria di selatan.  

Dalam tempoh tiga bulan lalu, tentera Israel telah mendirikan sekurang-kurangnya 10 pangkalan baru di wilayah selatan Syria, Quneitra dan Daraa, meluaskan kehadirannya secara melanggar Perjanjian Pengunduran 1974.  

Sejurus selepas kejatuhan rejim pada Disember tahun lalu, Israel telah meningkatkan serangan udara ke seluruh Syria dan memperluaskan operasi ketenteraannya melebihi Dataran Tinggi Golan yang diduduki ke zon penampan yang sepatutnya bebas tentera.  

Pangkalan Israel dibina berhampiran bukit strategik dan persimpangan jalan utama, terutamanya di Quneitra luar bandar, yang membolehkan pemantauan terus ke atas kampung berhampiran dan menyebabkan penghijrahan besar-besaran rakyat Syria.  

Kerajaan Syria menolak pengisytiharan Israel mengenai zon bebas tentera dan berulang kali menyeru Israel menghentikan tindakan ketenteraan yang melanggar kedaulatannya.Manakala Perdana Menteri ISrael Benjamin Netanyahu berkata bahawa Israel tidak akan membenarkan “Lubnan ke-2” untuk wujud di barat daya Syria, Damsyik telah menuduh Tel Aviv melaksanakan objektif sinis yang bertujuan untuk memporak-perandakan negara tersebut.  

Perkembangan menarik ialah tindakan Israel di Syria tidak mendapat sokongan daripada sekutu terbesarnya, Amerika Syarikat.  

Utusan AS untuk Syria, Tom Barrack, menyatakan Washington sedang berhubung dengan semua pihak "untuk mencapai ketenangan dan integrasi," tetapi laporan Axios mendakwa pentadbiran Trump telah meminta Israel menghentikan serangan ke atas tentera Syria.  

Namun, Israel tetap agresif terhadap kepimpinan baharu Syria selepas kejatuhan Assad.  

Tentera Israel sebelum ini menduduki zon penampan yang dikawal PBB di sempadan Syria dengan Dataran Tinggi Golan yang diduduki dan melancarkan ratusan serangan udara ke atas sasaran tentera di Syria. 

Pentadbiran Trump mendesak kerajaan baru Syria menuju normalisasi hubungan dengan Israel.  

Pegawai Syria mengakui perbincangan tidak langsung dengan Israel untuk mengurangkan ketegangan tetapi tidak mengesahkan laporan mengenai perbincangan langsung.  

Pada hari Selasa, Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli, dilaporkan menyeru pembunuhan Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, menurut laporan Israel Hayom.  

Kenyataan ini dikeluarkan ketika usaha diplomatik masih dijalankan untuk mempromosikan perjanjian keselamatan antara kedua-dua negara.  

Kementerian Luar Syria menyeru "semua negara dan organisasi menghormati kewibawaan Republik Arab Syria dan tidak menyokong sebarang gerakan pemberontak pemisah."  

Dalam kenyataannya, mereka mendesak rakyat Syria "menghentikan keganasan, menyerah senjata haram, dan menggagalkan usaha mereka yang ingin memecahbelahkan fabric sosial Syria serta menyemai perpecahan."


SUMBER:TRT World and Agencies
Cari Berita Lain
Revolusi AI: Malaysia kekal komited pacu masa depan kerja berpaksikan nilai kemanusiaan
Tinjauan global: Majoriti penduduk di 36 negara berpandangan negatif terhadap Israel
Raih 184 undi, Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial PBB
Tarif AS belum muktamad: Rundingan masih berjalan, kata Johari
Malaysia cari alternatif peluru berpandu, mahu Norway segera pulang wang tuntutan
Malaysia kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh penduduk haram Zionis
AS pertimbang jual sistem peluru berpandu kepada Malaysia
Norway batal kontrak peluru berpandu: Malaysia kesal komuniti antarabangsa membisu
DOJ rampas kondominium mewah dibeli guna dana 1MDB untuk pembantu Jho Low
Jutaan umat Islam berkumpul di Arafah tunai ibadah Haji
Anwar gesa penyelesaian damai di Timur Tengah, kecam serangan rejim Zionis
Anwar: Malaysia sedia sokong usaha damai susulan perkembangan rundingan AS-Iran
Malaysia gesa perjanjian rangka kerja inklusif jamin laluan selamat di Selat Hormuz
Skandal 1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$500 juta selesai saman pemegang saham
Lima rakyat Malaysia ditahan cuba masuk Mekah tanpa permit Haji
Malaysia intai sistem peluru berpandu Korea Selatan susulan pembatalan perjanjian Norway - laporan
Kajian: Malaysia negara ke-7 paling dipercayai di dunia
Malaysia beri peringatan kepada negara serantau mengenai perjanjian pertahanan dengan Norway
Malaysia tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan perjanjian peluru berpandu
Mindef tubuh tiga jawatankuasa selepas Norway batal lesen eksport peluru berpandu