ASEAN berdepan cabaran dunia, kepelbagaian dan daya tahan jadi kelebihan: Panel WEF
Kepelbagaian model kerjasama ASEAN, yang memberi ruang kepada kesalingoperasian berbanding penyelarasan yang ketat, terbukti menjadi sumber kekuatan dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Perubahan susunan global yang semakin tidak menentu mendedahkan ASEAN kepada ujian paling mencabar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, namun keadaan itu turut membuka peluang yang boleh dimanfaatkan rantau ini, kata panel pemimpin kerajaan dan perniagaan pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.
Walaupun Asia Tenggara bergerak lebih perlahan daripada yang diharapkan dan berdepan pelbagai kekangan dalaman, rantau ini tidak seharusnya terlalu keras dalam menilai dirinya sendiri, kata panel berkenaan.
Sebaliknya, ASEAN digesa memanfaatkan kepelbagaian, sikap berkecuali serta daya tahan yang semakin kukuh sebagai kelebihan strategik, menurut laporan The Straits Times.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas, berkata perbincangan di Davos banyak didominasi tiga “peralihan mega” iaitu geopolitik, transformasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim.
Dalam suasana global yang semakin kompleks, beliau berkata ASEAN perlu bekerjasama lebih rapat untuk kekal relevan dan berdaya saing.
Beliau turut memaklumkan ramai pelabur melihat ASEAN sebagai destinasi selamat kerana keupayaannya berdagang dengan pelbagai negara.
“Kita berkecuali dari segi perdagangan dan pelaburan, tetapi kita perlu bergerak lebih rapat. Jika ASEAN bekerjasama berasaskan kekuatan sedia ada seperti perdagangan intra-rantau, kita boleh menjadi lebih kuat,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Viada Hafid pula berkata persoalan sama ada ASEAN bergerak cukup pantas bergantung kepada bagaimana kelajuan itu ditakrifkan.
Bagi Indonesia dan rantau ini, katanya, integrasi tidak boleh dipisahkan daripada isu keterangkuman, memandangkan terdapat cabaran dalam memastikan teknologi sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Memetik contoh sistem pembayaran QR Indonesia, QRIS, beliau menegaskan usaha ini telah berjaya memperluaskan pembayaran digital, dan kini boleh digunakan secara rentas sempadan dengan negara seperti Thailand dan Malaysia.
Kerjasama seumpama ini menjadi asas kepada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang bertujuan mempercepatkan integrasi tanpa meninggalkan mana-mana negara.
Presiden Bank Pembangunan Asia Masato Kanda mengingatkan bahawa AI menawarkan lonjakan produktiviti tetapi turut membawa risiko sosial jika tidak diurus dengan baik.
ASEAN, katanya, perlu melabur dalam pendidikan, kemahiran dan keterhubungan serantau bagi memastikan potensi demografi muda diterjemah kepada peluang pekerjaan dan kestabilan sosial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pasifik Zurich Insurance Group Tulsi Naidu berkata tarikan ASEAN bukan hanya terletak pada potensi pertumbuhannya, tetapi juga daya tahannya terhadap kejutan global.
Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan tarif berada pada tahap tertinggi dalam beberapa dekad, ekonomi ASEAN menunjukkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan.
Ketua Pengarah Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) Daren Tang menegaskan ASEAN sebenarnya berada di barisan hadapan inovasi, dengan peningkatan syarikat unicorn, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, serta ekonomi kreatif yang semakin berkembang.
Kepelbagaian model kerjasama ASEAN, yang memberi ruang kepada kesalingoperasian berbanding penyelarasan yang ketat, katanya, terbukti menjadi sumber kekuatan dalam dunia yang semakin berpecah-belah.