Menurut laporan berita PBB, angka kematian itu disahkan setelah operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada hari Rabu, hari yang sama amaran tsunami ditamatkan.
Gempa bumi yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer itu mengakibatkan lebih 200 orang cedera dan kira-kira 111,000 penduduk terjejas, termasuk 20,000 yang dipindahkan.
Ramai mangsa terpaksa berkhemah di kawasan terbuka berikutan rumah mereka rosak teruk dan gegaran susulan yang masih berterusan.
Kerosakan meluas
Gempa tersebut mengakibatkan kerosakan meluas ke atas rumah penduduk, gereja, sekolah serta bangunan dan infrastruktur pengangkutan.
Sekurang-kurangnya dua pelabuhan masih tidak beroperasi dan beberapa jalan raya dilaporkan terhalang, menyukarkan proses penghantaran bantuan.
Pihak berkuasa Filipina telah mengisytiharkan darurat di empat perbandaran, membolehkan peruntukan dana kecemasan dikeluarkan.
Pasukan bantuan antarabangsa seperti IOM dan WHO telah bersedia untuk memberikan bantuan termasuk kit kebersihan dan peralatan penapisan air.
Hospital-hospital di utara Cebu dilaporkan dibawah tekanan dengan kemasukan mangsa yang cedera, memaksa pasukan perubatan kecemasan dari wilayah jiran dikerahkan.
Setakat ini, lebih 340 gegaran susulan telah direkodkan. Filipina terletak di lingkaran api Pasifik, menjadikannya terdedah kepada aktiviti gempa bumi dan bencana alam yang lain.
















